MALAYSIA KEKURANGAN JURURAWAT

AP MALAYSIA KEKURANGAN JURURAWAT

PUTRAJAYA – Sasaran nisbah perkhidmatan seorang jururawat bagi 200 penduduk seperti disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sukar dicapai dalam masa terdekat kerana kekurangan jururawat dan pengambilan tahunan yang kecil berbanding pertambahan penduduk.

Tanpa menyatakan statistik kelahiran dalam setahun, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, jumlah pengambilan jururawat ketika ini adalah seramai 3,300 orang setiap tahun.

“Kita memang berhasrat mencapai ratio ditetapkan WHO itu secepat mungkin daripada nisbah 1:300 ketika ini, tetapi kita kena akui ia sukar dicapai dalam masa terdekat kerana jumlah yang dilatih dan diambil bekerja dengan jurang pertambahan penduduk agak besar,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2017 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, yang dihadiri kira-kira 2,000 jururawat dari seluruh negara.

Hilmi berkata, keadaan itu disukarkan lagi dengan bilangan jururawat yang pencen setiap tahun daripada keseluruhan 130,000 kakitangan yang sedang berkhidmat juga agak besar.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan telah melatih 40,000 sukarelawan yang akan bertindak selaku penyaring tahap kesihatan penduduk di peringkat akar umbi di seluruh negara.

Menurutnya, kementerian turut mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Rukun Tetangga yang membenarkan seramai 11,000 kakitangan dan anggotanya dilatih dengan kemahiran seperti memeriksa tekanan darah, kolesterol dan berat badan penduduk, sekali gus melebarkan capaian pemeriksaan awal tahap kesihatan tanpa perlu berkunjung ke hospital.

“Fokus utama kita adalah penjagaan awal iaitu pencegahan dan kesemua sukarelawan tersebut dilatih bagi membolehkan mereka melakukan ujian berkenaan sebelum merujuk kepada hospital jika keadaan kesihatan individu yang diperiksa memerlukan dia berbuat demikian,” katanya.

Hilmi pada majlis itu turut menyampaikan Anugerah Tokoh Jururawat 2017 kepada tiga penerima iaitu bekas profesor bersekutu UCSI Universiti, Dr Jeya Devi Coomarasamy bagi bidang pendidikan dan pesara jururawat, Habesah Ab Latif serta Siti Mahfudz, masing-masing bagi bidang komuniti dan perkhidmatan. – BernamaAP MALAYSIA KEKURANGAN JURURAWAT

Be the first to comment