KEWAJIPAN MENUNAIKAN ZAKAT KEPADA INSTITUSI ZAKAT

Sebelum institusi zakat ditadbir secara lebih sistematik oleh RasuluLLAH SAW berdasarkan kepada kadar nisab, haul dan had kifayah sebagaimana yang diamalkan sekarang, Negara Islam Madinah bergantung sepenuhnya kepada sumber as-sadaqat (sedekah, sumbangan sukarela) bagi membiayai pentadbiran dan operasinya.

Baginda SAW pernah memerintahkan beberapa orang sahabatnya untuk keluar dari Negara Islam Madinah memungut as-sadaQat, bagi kegunaan membiayai mana-mana projek yang bakal dilaksanakan Baginda saw.

Namun selepas turunnya wahyu, ianya menjadi suatu kewajipan (zakat) dan bukannya as-sadaQat (sumbangan sukarela) lagi sebagaimana FirmanNYA;
Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan mendoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (at-Taubah:103)

ZAKAT JAMIL

Pemerintah melantik amil-amil sebagai pemegang amanah menguruskan zakat bagi kepentingan ekonomi dan maslahah umat Islam.

Jumhur fuQaha bersetuju bahawa ayat al-Quran di atas merupakan dalil wajibnya menunaikan zakat kepada pemerintah. Dalam konteks ini di Malaysia pentadbiran zakat ialah melalui Majlis Agama Negeri masing-masing.

Selaku Ketua Negara Islam Madinah, RasuluLLAH SAW berhak mengutip zakat dan melantik amil-amil di kalangan para sahabat Baginda saw (yang terpilih dan memenuhi kriteria tertentu) bagi mengurus dan mentadbir hasil mahsul negara.

Dalil di atas juga menjadi hujah kukuh bagi Abu Bakar as-SiddiQ, selaku Ketua Negara Islam Madinah selepas RasuluLLAH saw untuk mengutip zakat, sehinggakan beliau r.a. berkata;
“Jika mereka enggan membayar walaupun seekor kambing yang pernah mereka berikan kepada RasuluLLAH, nescaya akan aku perangi mereka itu”.

ZAKAT JAMIL

Zakat dan institusi zakat merupakan sumber ekonomi dan tulang belakang pembangunan ekonomi umat Islam. Sebarang elemen dan anasir yang cuba menghakis keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat dianggap sebagai perosak kepada ekonomi umat Islam.

Lebih jauh dari itu, jika mereka bersekongkol dan bersekutu dengan musuh-musuh Islam menyerang institusi dan organisasi yang menguruskendalikan zakat, maka mereka selayaknya dianggap sebagai musuh Islam.

Justeru itu, timbul persoalan tentang agenda pihak-pihak tertentu yang menggalakkan pembayar zakat menunaikan kewajipan berzakat (memberi terus) kepada golongan asnaf tanpa melalui amil-amil yang dilantik oleh institusi zakat.

Apa agenda mereka sebenarnya?

Advertisements

Be the first to comment