SEMBILAN SYARIKAT MALAYSIA SERTAI PLMA 2017

KUALA LUMPUR: Sembilan syarikat Malaysia meraih potensi jualan RM96.58 juta pada pameran perdagangan antarabangsa di Amsterdam, Belanda, pada 16 dan 17 Mei lalu.

Angka berkenaan meningkat 43 peratus berbanding RM67.63 juta yang dijana oleh 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di World of Private Label International Trade Show (PLMA) pada tahun lalu.

Penyertaan Malaysia pada pameran itu diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Malaysia (MATRADE). Di bawah kategori bukan makanan, syarikat Malaysia mempamerkan antaranya produk pembersihan rumah, produk penjagaan diri dan isi rumah. Syarikat Malaysia juga mengambil peluang bertemu bakal pembeli dari Belanda, Belgium dan Turki, kata Pengarah Unit Gaya Hidup Matrade Abu Bakar Yusof.

Menurut MATRADE, bahagian pasaran bagi jenama peruncit meningkat di 13 daripada 20 negara di Eropah dan peningkatan permintaan yang berterusan di negara-negara berkenaan menunjukkan terdapat potensi besar bagi syarikat Malaysia menerokanya.

PLMA adalah pameran perdagangan runcit terkenal di Eropah di mana pembeli dan penjual berkumpul untuk mendapatkan sumber bagi pasar raya dan gedung dari seluruh dunia.

BERNAMA

Be the first to comment