TEMPOH SERAHAN MYKAD DIPERCEPAT KE 5 HARI

JOHOR BAHRU – Tempoh serahan MyKad di pejabat cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di negeri ini kepada para pemohon semakin cepat iaitu lima hari dari dua minggu sebelum ini.

09jazlan_1496915011Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, langkah tersebut hasil penambahbaikan projek Percetakan Teragih MyKad (DPP) yang telah diperluaskan di semua cawangan JPN negeri.

Katanya, lima DPP yang terpilih iaitu pejabat JPN negeri, JPN daerah Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor Bahru menetapkan tempoh siap MyKad dalam masa sehari.

“Sebelum ini, tempoh serahan MyKad di pejabat cawangan mengambil masa kira-kira dua minggu namun kini masa tersebut telah dipercepatkan.

“Usaha ini antara penambahbaikan perkhidmatan JPN negeri untuk keselesaan masyarakat menerusi projek DPP yang telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hab Percetakan Teragih MyKad negeri Johor di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Turut hadir iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPN, Zamari Mohd. Ramli dan Pengarah JPN negeri Johor, Rokiah Hanum Ibrahim.

Sumber:- K! ONLINE

 

Be the first to comment