AMNESTY International Bela Siti Kasim

AMNESTY International melahirkan keprihatinannya atas dakwaan yang dikenakan ke atas Siti Zabedah Kasim @ Siti Kasim, yang menghadapi tuduhan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam satu serbuan ke atas pertandingan ratu cantik pondan, di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur  pada April  2016.

AMNESTY International yang menyifatkan Siti Kasim sebagai pejuang LGBT (liberalisme, gay, biseksual dan transgender) menganggap tindakan mahkamah yang dikenakan ke atas Siti Kasim oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merupakan usaha pihak berkuasa untuk menyekat dan mensabotaj kerja-kerja amal pejuang hak asasi manusia.

JUSTERU itu, AMNESTY International mengeluarkan notis TINDAKAN SEGERA kepada rakyat Malaysia agar;

(i) mendesak kerajaan Malaysia menggugurkan  segala tindakan perundangan ke atas Siti Zabedah Kasim @ Siti Kasim dengan serta merta,

(ii) mendesak kerajaan Malaysia menghentikan serta merta segala jenis dasar, undang-undang dan amalan diskriminasi terhadap komuniti transgender,

(iii)  mendesak kerajaan Malaysia agar menilai semula segala jenis dasar dan  undang-undang yang mendiskriminasi komuniti transgender dan merangka dasar dan undang-undang yang selari dengan piawaian dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Siti Kasim yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jalan Duta semalam  dikenakan tuduhan menghalang proses keadilan dilaksanakan oleh penjawat awam dan didakwa di bawah AKTA 574 Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.

Tindakan pihak JAWI dalam perkara di atas adalah berdasarkan kepada Perkara 3  dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam mentafsirkan Perkara 3  bahawa Islam sebagai agama bagi Persekutuan,  bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz memberi makna Islam sebagai “bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman”.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM), Musa Awang dalam mentafsirkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan bahawa kerajaan negeri dan persekutuan boleh menggubal apa-apa undang-undang bersesuaian yang menyekat atau mengawal apa-apa pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan umat Islam.

TAFSIRAN Fairuz dan Musa selaku pakar perundangan dalam perkara ini  menepati tindakan dan penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan oleh pihak JAWI memandangkan para peserta pertandingan ratu cantik pondan tersebut disertai oleh umat Islam dan Siti Kasim tidak wajar menghalang pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang sah yang telah digubal di Parlimen.

Siti Kasim yang pernah mencetuskan kontroversi manusia mencipta Tuhan melalui getaran dan dianggap menghampiri murtad oleh Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Dato’ Seri (Dr.)  Haji Harussani Haji Zakaria mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan perbicaraan akan disambung pada 22 Ogos 2017.

Pembelaan AMNESTY International terhadap Siti Kasim ini seiring dengan kes tekanan dan desakan sebuah pertubuhan Evangelis antarabangsa terhadap seorang kakitangan akademik yang mengkritik misi dan visi dakyah mubaligh Evangelish, Hannah Yeoh, baru-baru ini.

Kemenangan mengharungi cabaran Ramadhan perlu diteruskan oleh umat Islam dengan bersatu padu mendepani cabaran sebegini di mana institusi agama Islam diserang dari pelbagai sudut oleh musuh-mush Islam.

Itulah kemenangan sebenarnya selain dari kegembiraan menyambut Syawal.

 

 

Advertisements

1 Trackback / Pingback

  1. SITI KASIM AKAN TERIMA PELBAGAI ANUGERAH ANTARABANGSA – MediaLantang.Com