JATI DIRI MELAYU ISLAM LEBIH KENTAL DI KELANTAN BERBANDING SELANGOR DAN PULAU PINANG – Presiden GAMIT

Meski  pun rakyat Kelantan yang majoritinya Melayu Islam mengakui bahawa kepimpinan negeri tersebut gagal menyediakan peluang-peluang pekerjaan terhadap rakyatnya sendiri, mereka tidak mengambil risiko menukar tampuk kerajaan negeri dari kepimpinan yang berteraskan Melayu Islam kepada selainnya.

Sambil mengakui bahawa jati diri dan kelansungan hidup Melayu Islam rakyat Kelantan lebih kental berbanding Selangor dan Pulau Pinang, Presiden Gagasan Aku Melayu Islam Tanahair (GAMIT), Azuddin Jud Ismail mengemukakan data dan statistik menarik hasil pengamatan beliau terhadap jumlah kenderaan yang pulang ke Kelantan menjelang cuti musim perayaan.

Menurut Azuddin;
“Apabila saya mengamati data dari PLUS mengenai jumlah peningkatan kenderaan yang balik ke Kelantan di musim perayaan, terdapat peningkatan sebanyak 380 peratus.”

“Ini bermakna setiap sebuah kenderaan (milik rakyat Kelantan) di Kelantan, terdapat 3.8 kali ganda kenderaan milik rakyat Kelantan di luar Kelantan”, tambah Azuddin lagi.

Data tersebut tidak termasuk bilangan rakyat Kelantan yang menaiki bas, keretapi dan kapalterbang yang pulang ke Kelantan di musim perayaan.

Azuddin juga menyatakan bahawa 80 peratus dari rakyat Kelantan berhijrah ke luar dengan melakukan transformasi demi kelansungan sosio-ekonomi mereka akibat kegagalan kerajaan negeri menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyatnya.

Mereka melakukan transformasi dengan menceburi bidang perniagaan dan berhijrah ke negeri lain, tanpa menukar kepimpinan negeri yang diketahui umum gagal menyediakan pelbagai fasiliti dan infrastruktur asas kepada rakyat, peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan sebagainya sejak 27 tahun lampau.

Azuddin berpendapat bahawa transfigurasi dari transformasi ini memberi impak kepada pemikiran, sikap, perlakuan dan DNA rakyat Kelantan itu sendiri.

Azuddin juga mencetuskan suatu persoalan kepada rakyat Malaysia mengapa kerajaan yang gagal berkhidmat kepada rakyat selama 27 tahun ini (sejak 1990) tidak dihukum sewaktu pilihanraya umum, sebaliknya terus mendapat dokongan dan sokongan rakyatnya.

AZUDDIN KU LI
Azuddin bersama YM Tengku Razaleigh Hamzah mantan Menteri Kewangan Malaysia dan kini Ahli Parlimen Gua Musang, Kelantan. 

“Meski pun Kelantan tidak ditadbir oleh umat Islam UMNO, ia masih lagi dalam kerangka didominasi oleh umat Islam (PAS), berbanding Selangor dan Pulau Pinang. Ini bermakna, jika kita melakukan satu kajian sikap terhadap rakyat Kelantan, hasil kajian kita pasti menunjukkan indeks kepuashatian rakyat Kelantan terhadap kerajaan negeri adalah tinggi”, jelas Azuddin.

Mengakhiri perutusan Eidul Fitri 1438H selaku Presiden GAMIT, Azuddin juga menyeru umat Islam bermuhasabah diri supaya  tidak menang sorak tapi kampung tergadai dan menyeru umat Islam agar mengekalkan budaya serta  tradisi Islam dalam setiap transformasi demi transfigurasi jati diri Melayu Islam dan ibu pertiwi (tanahair).

Advertisements

Be the first to comment