PERUTUSAN AIDILFITRI 1438H: Najib Kemuka Lima Risiko Dan Cabaran Yang Perlu Dihadapi

YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam Perutusan Aidilfitri 1438H menyeru umat Islam Malaysia agar bersiap siaga dengan sepenuh kekuatan dalam setiap perkara.

Sambil memetik petikan ayat Quran surah al-Anfal ayat 60, beliau mahu kesiapsiagaan tersebut melalui pedoman cendekiawan di mana tidak berjaya sesuatu kebenaran, jika tidak diatur dengan baik.

Menurut Najib lagi, ia selaras dengan ajaran Islam yang senantiasa  menekankan tentang peri-pentingnya perencanaan dan ketertiban sama ada urusan duniawi mahupun soal ukhrawi, terutama bagi berdepan dengan realiti dunia kontemporari.

Menyentuh mengenai realiti kontemporari, Najib menyatakan di dalam blog beliau terdapat lima risiko dan cabaran baharu yang perlu dihadapi.

PERTAMA risiko dan cabaran geo-politik yang melibatkan krisis negara-negara Islam Timur Tengah, program nuklear Korea Utara dan implikasi Brexit. Najib berpendapat bahawa risiko dan cabaran geo-politik perlu diteliti dengan sebaik-baiknya, kerana jika ia tidak dapat diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan kemakmuran negara serantau dan antarabangsa.

KEDUA risiko dan cabaran keselamatan dan keamanan. Sambil menyeru  semua rakyat di negara ini agar mengelakkan diri dari terpengaruh dengan fahaman atau ideologi ektremisme dan terorisme yang telah menyalahtafsirkan konsep jihad, Najib juga memberikan beberapa contoh siri-siri letupan bom di tempat awam sebagaimana yang berlaku di Manchester, London, Jakarta, Kabul dan pertempuran di Marawi, Filipina.

Selain menegaskan bahawa Islam merupakan agama damai, Najib mahu umat Islam berpegang teguh dengan The Authentic Islam, iaitu ajaran Islam Sejati dalam pengertian yang sebenar-benarnya.

KETIGA, Bidang iktisad atau Ekonomi. Menurut Najib, “Meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, Alhamdulillah, mutakhir ini, ekonomi kita telah berkembang pada kadar yang di luar jangka iaitu pada 5.6 peratus untuk suku pertama tahun 2017, berbanding pertumbuhan 4.5 peratus pada suku keempat 2016.’

Selain mengambil contoh nilai eksport yang meningkat sebanyak 24 peratus kepada 82.63 bilion ringgit pada Mac 2017 lalu, Najib juga melahirkan kesyukurannya bahawa pencapaian eksport ini telah mencatatkan double digit growth  empat bulan berturut-turut sejak Disember 2016.

Malaysia juga telah diiktiraf oleh firma antarabangsa BAV Consulting & Wharton School sebagai negara yang terbaik untuk para pelabur bagi tahun 2017 manakala majalah Forbes meletakkan Malaysia kedudukan paling atas di kalangan semua negara Asia untuk pelaburan asing.

KEEMPAT, Mendahulukan Kepentingan Rakyat.Menurut Najib, Kerajaan telah berusaha gigih menyalurkan pelbagai bantuan dan inisiatif bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat  seperti BR1M, Projek-projek Perumahan Rakyat, Rumah Mampu Milik, PPA1M, PR1MA, Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, pengangkutan awam dan bermacam lagi subsidi, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Malah, dalam memberi keselesaan dan connectivity yang lebih bersepadu, projek-projek Infra Rakyat seperti My Rapid Transit (MRT), Lebuhraya Pan Borneo, High Speed Rail, LRT Extension, East Coast Rail Link atau ECRL, turut dilaksanakan.

Kerajaan juga telah membayar peringkat kedua BR1M, yang memberi manfaat kepada  7 juta penerima (2017) selain dari bantuan khas Aidilfitri bernilai RM 500 kepada 1.6 juta penjawat awam dan RM250  untuk pesara.

Najib juga menyatakan Bantuan Lebaran sebanyak RM 500 ringgit dan 280 ringgit dividen yang diterima peneroka FELDA dari FGV.

Selain berharap agar semua bantuan tersebut dapat meringankan serba sedikit beban dan menambahkan keceriaan menyambut ketibaan Syawal,  Najib juga memberitahu bahawa permulaan 2017 telah diserikan dengan pengumuman pelaburan oleh Saudi Aramco yang bernilai 31 bilion ringgit,  di mana ia merupakan, pelaburan asing tunggal terbesar yang pernah berlaku, dalam sejarah Malaysia (setakat ini).

Peningkatan kadar kuota rasmi Haji Malaysia dari 27,900 orang kepada 30,200 orang jemaah, pertimbangan Raja Arab Saudi, Raja Salman terhadap  permohonan Malaysia untuk menyewa tanah bagi tujuan kompleks penginapan untuk kemudahan jemaah haji Malaysia pada masa hadapan adalah antara berita gembira yang dinyatakan Najib dalam perutusan kali ini.

“Namun demikian, kita tidak akan cepat berpuas hati dan mudah berasa selesa dengan kejayaan-kejayaan itu, sebaliknya, Kerajaan akan terus membawa Malaysia menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah bagi mempastikan negara kekal berdaya saing dalam ekonomi global”, tambah Najib.

KELIMA, Masa Depan dan TN50.  Ianya berkaitan dengan menjengah masa depan, di mana dunia kontemporari berada di ambang Fourth Industrial Revolution.

Demi mewajah masa depan negara menuju TN50, Najib menyatakan bahawa beliau  mahu melihat kelahiran generasi Khayra Ummah yang Par Excellence lagi berwibawa, kukuh jatidiri individu, jatidiri bangsa dan jatidiri negara, selaras dengan gerakan Ekspresi Negaraku Malaysia.

Mengakhiri perutusannya, Najib menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia supaya mengeratkan perpaduan, mengukuhkan  ukhuwah serta persaudaraan,  mengenepikan segala perbezaan, nikmatilah keharmonian sedia ada di bawah lembayung silaturrahim 1Malaysia.

Advertisements

Be the first to comment