Kabinet Putuskan RCI Forex Tanpa Niat Politik – Salleh

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan tidak seharusnya mempolitikkan keputusan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca sebenar di sebalik kerugian urus niaga matawang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1980-an dan 1990-an, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini.

Beliau berkata keputusan Kabinet itu dibuat tanpa sebarang niat jahat atau bermotifkan politik, sebaliknya ia adalah syor yang dikemukakan oleh Pasukan Petugas Khas (STF) diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan.

“Kabinet membuat keputusan tepat untuk menubuhkan RCI oleh kerana negara dan rakyat inginkan kebenaran.

“Keputusan itu dibuat disebabkan kerugian urus niaga matawang asing ini adalah terlalu besar yang mengakibatkan BNM secara teknikalnya menjadi bankrap,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Salleh berkata rancangan Pakatan Harapan untuk mengadakan jerayawara berkaitan perkara itu adalah untuk mengelirukan rakyat dan menjejaskan RCI.

“Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Pakatan Harapan merupakan pembangkang yang gagal disebabkan mereka mengamalkan pilih kasih.

“Semasa Mahathir (bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) berada di dalam UMNO, mereka mendesak supaya ditubuhkan RCI. Sekarang Mahathir bersama mereka, (tetapi) mereka menolak RCI” katanya.

Pada 21 Jun, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Kabinet bersetuju sebulat suara dengan syor STF bahawa terdapat keperluan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat kerugian dalam urus niaga matawang asing oleh BNM.

Menurutnya, pasukan petugas itu turut mendapati ada percubaan untuk menyembunyikan fakta sebenar berkaitan kerugian itu, dengan maklumat mengelirukan dikemukakan kepada Kabinet dan parlimen.

PMO berkata pasukan petugas itu turut mendapati wujud kes prima facie yang perlu dijawab oleh BNM berhubung kerugian urus niaga matawang asing itu, dan oleh itu, mengesyorkan penubuhan RCI.

Sehubungan itu, katanya, penubuhan RCI dijangka merungkai isu yang membelenggu negara sejak 23 tahun lepas.

— BERNAMA

Advertisements

1 Trackback / Pingback

  1. RCI Forex Dapat Liputan Media Asing – ASPIRASI PERDANA