PAN TANDUS ISU: PEMUDA PAN Kitar Semula Isu Status Haji 1MDB.

Isu status jemaah yang mengerjakan haji dengan tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (Yayasan 1MDB) mula mendapat perhatian masyarakat apabila ianya dibangkitkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada awal Januari 2017 lalu.
 
Menurut Mahathir, mereka yang mengerjakan haji melalui tajaan Yayasan 1MDB adalah tidak beroleh ganjaran pahala dan tidak mabrur. Tidak pula diketahui apakah motif sebenar Mahathir mengeluarkan kenyataan sedemikian setelah Yayasan 1MDB menaja lebih dari 5711 jemaah semenjak 2011.
 
Yayasan 1MDB bukan sahaja menaja pemergian jemaah haji, malah membina prasarana dan penambahbaikan masjid, penajaan dan biasiswa pelajaran untuk pelajar pelbagai peringkat dan pelbagai aktiviti serta program kebajikan lain.
 
Kenyataan Mahathir tersebut disanggah oleh Sahibus Samahah Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohamed.
 
Menurut Shukri, “Mereka (jemaah haji) perlu meletakkan harapan dan berdoa bahawa amalan seperti solat, puasa, zakat dan haji ini diterima dan selepas itu mereka harus yakin ALLAH swt menerima permintaan kita.”
 
Imam Masjid Negara, Khisamuddin Ismail pula berpendapat bahawa kenyataan Mahathir tersebut lebih berunsurkan politik dan jemaah haji yang ditaja sebenarnya menerima hadiah dan ianya bukanlah suatu masalah (dari segi hukumnya).
 
Isu status jemaah haji muncul semula apabila ianya dibangkitkan oleh Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Faiz Fadzil.
 
Faiz menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom supaya mengaudit sumber dana penajaan jemaah haji bagi memastikan ia bebas dari sebarang penyelewengan dan korupsi.
 
“(Ia) agar ibadat haji rakyat Malaysia yang ditaja 1MDB ini tidak terjejas,” demikian kata Faiz sebagaimana yang dilaporkan portal MalaysiaKini.
 
Meneliti kenyataan Faiz di atas menyerlahkan sikap dan pendirian sebenar beliau terhadap gesaannya agar sumber dana penjaan haji (menurutnya 1MDB) diaudit.
 
PERTAMA, wujud kekeliruan Faiz terhadap sumber penajaan di mana 1MDB bukanlah penaja kepada jemaah haji, sebaliknya Yayasan 1MDB.
 
KEDUA, Faiz sendiri sudah membina halangan minda (mental block) di dalam dirinya sendiri dengan membuat rumusan bahawa 1MDB merupakan suatu skandal rompakan terbesar dunia dan menjadi subjek penyiasatan banyak pihak berkuasa dunia.
 
Realitinya, tiada bukti dan fakta konkrit untuk menyatakan ianya suatu skandal dan 1MDB bukanlah subjek siasatan tetapi beberapa individu yang tiada kena mengena dengan 1MDB dilaporkan terjebak dengan aktiviti penggubahan wang haram peringkat antrabangsa dan cuba dikaitkan dengan 1MDB.
 
Siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat terhadap beberapa individu yang tiada kena mengena dengan 1MDB dijadikan asas rumusan oleh Faiz bahawa terdapat “prima facie untuk menuduh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebagai pelaku jenayah”.
 
Di sini jelas motif sebenar Faiz membangkitkan semula isu dana penajaan haji Yayasan 1MDB.
 
KETIGA, Faiz dan Pemuda PAN dilihat begitu terdesak untuk mengitar semula isu ini memandangkan Pengerusi Program Khas Haji YAB Perdana Menteri, Dato’ Jailani Ngah baru sahaja menyerahkan surat tawaran kepada 87 calon-calon haji bagi tahun 2017 di Kuala Nerus, Trengganu, dua hari lalu.
 
Meski pun telah melalui pelbagai proses siasatan, audit dalaman dan luar negara, Pemuda PAN tersebut dilihat tidak dapat menerima kebenaran bahawa 1MDB dan/atau entiti lain di bawahnya tidak mempunyai isu-isu korupsi dan penyelewengan sebagaimana dakwaannya.
 
Malah siasatan-siasatan yang dilakukan di pelbagai negara seperti Singapura, Australia, Malaysia, Amerika Syarikat dan Switzerland tidak menemui sebarang elemen korupsi dan penyelewengan samada oleh 1MDB, pegawai-pegawai serta kakitangan mereka, apatah lagi YAB Perdana Menteri Malaysia, selaku Penasihat dan Menteri Kewangan.
 
Justeru itu, gesaan Pemuda PAN supaya Jamil selaku Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama mengaudit sumber dana haji Yayasan 1MDB adalah tidak berasas, bermotif politik dan kebudak-budakan.
 
Walaubagaimana pun, Faiz dan PAN boleh dianggap berjaya memainkan peranan yang tidak mampu dilakukan oleh sekutu rapat mereka, Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang selama ini tidak berputus asa menyerang institusi dan organisasi Islam bagi menutup dan mengalihkan isu-isu dalaman gabungan parti-parti Pakatan Harapan.

 

Be the first to comment