PNB Optimis Separuh Kedua 2017

KUALA LUMPUR 4 Julai – Permodalan Nasional Ber­had (PNB) optimis pelaburannya dalam syarikat tersenarai di Bursa Malaysia berupaya mencatat prestasi yang baik walaupun jumlah syarikat yang tersenarai dalam pasaran modal awam tidak berubah, mengambil kira pertumbuhan ekonomi pada separuh kedua 2017 yang positif.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, ini kerana PNB memberi tumpuan kepada tiga jenis pelaburan iaitu strategik, teras dan portfolio de­ngan 69 peratus daripada jumlah dana diuruskan dilaburkan dalam syarikat-syarikat berkenaan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 50 peratus dilaburkan dalam syarikat strategik manakala 45 peratus dalam syarikat teras dan lima peratus untuk pelaburan portfolio.

“Jadi, kita hanya memberi fokus kepada syarikat-syarikat yang mempunyai potensi untuk berkembang lebih maju lagi yang mana pegangan kita lebih 10 pe­ratus atau RM1 bilion dari segi nilai pasaran.

“Selagi syarikat-syarikat korporat ini mempertingkatkan pelaburan dan mampu memberi pulangan dividen yang baik kepada pelabur, kita yakin pasaran saham akan terus meningkat,” katanya selepas majlis Hari Raya PNB 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Muhammad Ibrahim; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd. Noor.

Menurut laporan tahunan Bursa Malaysia Bhd. pada tahun lalu, jumlah penyenaraian syarikat baharu kekal pada 11 syarikat dan tidak berubah dari tahun sebelumnya, manakala dana yang dikumpul menerusi Tawaran Awam Permulaan (IPO) menurun kepada RM12.8 bilion berbanding RM21.2 bilion.

Syarikat pelaburan strategik PNB termasuk Malayan Banking Berhad (Maybank), UMW Holdings Bhd., MNRB Holdings Bhd., Sime Darby Bhd., SP Setia Bhd. dan Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM).

PNB turut melabur dalam syarikat-syarikat teras antaranya Axiata Group Bhd., (Axiata), Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Setakat 31 Mei lalu, PNB mencatat pe­ning­katan 4.1 peratus tahun ke tahun bagi Aset Bawah Pengurusan (AUM) kepada RM265.6 bilion berbanding RM255.2 bilion bagi tempoh sama tahun sebelum­nya.

Pendapatan bersih yang disa­tukan berkembang pada kadar tahunan 18.2 peratus kepada RM6.7 bilion untuk tempoh lima bulan berakhir 31 Mei 2017.

Mengenai perkembangan ringgit, Abdul Wahid berkata, selagi Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh dengan nilai eksport terus meningkat, ia akan terus menyokong kedudukan unit tempatan itu.

“Yang penting, fokus kita adalah untuk meningkatkan prestasi syarikat korporat dan mampu mendapatkan keuntungan yang baik sekali gus menyebabkan ali­ran masuk pelaburan dalam negara dan ini juga akan membantu nilai ringgit,” katanya.

Sumber: Utusan ONLINE

Be the first to comment

%d bloggers like this: