Pengakuan Seorang Isteri Derhaka

DI SINI saya inginkan kongsikan suatu kisah tentang hidup saya yang malang disebabkan sikap panas baran saya sendiri sebagai seorang perempuan dan isteri, di samping sikap ego sangat tinggi mengalahkan perempuan lain.

MENTALITI  dan sikap saya sebagai seorang perempuan adalah perempuan sentiasa sahaja betul, semuanya betul dan tiada yang salah melainkan betul belaka.

TIGA tahun lalu,  saya berkahwin dengan seorang lelaki yang muda 7 tahun dari saya. Saya bekerja sebagai penjawat awam dan mempunyai jawatan tinggi sebagai pegawai kerajaan manakala suami pula hanya berkelulusan SPM.

PASTINYA  suami saya bergaji rendah di samping berjawatan kontrak.

SAYA berasal dari selatan tanahair manakala suami pula dari pantai timur. Perkahwinan kami bahagia dan hubungan di peringkat awal tiada masalah.  Kedua-dua kami memang memiliki sikap panas baran, tetapi suami saya mampu mengawalnya dan seringkali beralah bila berlaku pertengkaran. Kelebihannya, dia tahu mengawal panas barannya. Dia tahu bila masa dan ketika yag sesuai untuk marah atau beralah.

SAYA akui diawal perkahwinan kami, meski pun bahagia, suami seringkali juga melepaskan rasa amarahnya dan gagal mengawal panas barannya. Semakin usia perkahwinan meningkat, dia banyak belajar mengawal perasaan, beralah dan jarang melayan saya bertengkar, meski pun saya selalu memperlinya dan mengatakan bahawa ego lelaki sangat tinggi.

SAYA akui ego saya lebih tinggi darinya, tambahan pula saya berpelajaran tinggi, berjawatan tinggi dan dia hanyalah seorang pekerja kontrak lulusan SPM di sebuah syarikat swasta.

Meski pun bergaji rendah, suami saya tidak pernah sesekali mengabaikan tanggungjawabnya memberi nafkah zahir dan batin.

DIA juga rajin ke pasaraya membelikan pelbagai barangan dapur. Saya seringkali mengujinya dengan menyatakan bahawa semua keperluan barangan dapur tersebut mampu saya beli dan seringkali saya mengunkit-ungkit tentang pengorbanan saya sebagai seorang isteri.

PERNAH beberapa kali saya terlalu mengikutkan emosi, tambahan pula apabila tiba waktu datang bulan. Namun suami saya seorang yang penyabar dan mampu mengawal panas baran beliau di samping bersikap ringan tulang membantu kerja-kerja rumah seperti mengemas, mencuci pinggan mangkuk, memasak, membuang sampah hatta sampai membasuh pakaian, melipat kain baju  dan menggosok pakaian saya sekali pun.

PERNAH beberapa kali, kami bertengkar. Dia memarahi saya dan saya melawan. Akhirnya, saya menengking suami saya, hinggakan  dia tidak berpeluang untuk menjelaskan apa-apa. Akhirnya, dia menangis dan meminta maaf pada saya.

Katanya, dia tak suka saya marah-marah, tak suka tengok muka saya marah dengan suara yang meninggi padanya.

HATI saya berkata bahawa saya isteri derhaka, tapi disebabkan ego, saya pendamkan dan tidak meminta maaf padanya (disebabkan bersuara tinggi). Keegoan menyebabkan saya tidak pernah meminta maaf dan merasakan diri saya sentiasa betul.

Dia bagitau saya bahawa rakan-rakannya mengejek dia kerana takutkan isteri. Dia tidak kisah, asalkan dia menghormati saya, saya tidak marah-marah dan bahagia berkahwin dengaannya.

SAYA banyak terpengaruh dengan media sosial tentang hak-hak asasi, tugas dan tanggungjawab suami serta layanan yang patut seorang isteri perolehi dari suami. Saya Tanpa saya sedari, hak seorang isteri perlu disuarakan sekiranya seseorang suami itu tidak bertanggungjawab, tetapi suami saya melaksanakan semua tugas dan tanggungjawabnya dengan baik.

MEDIA SOSIAL saya jadikan medan meluahkan perasaan tentang hati seorang perempuan, terutama ketika saya berada di dalam keadaan emosi yang tidak stabil, datang bulan. Seringkali saya menyalahkan pihak lelaki dalam apa jua isu rumahtangga dan keganasan yang menimpa kaum hawa di media sosial dan menulisnya di blog dan laman facebook.

ANTARA status-status yang sering saya muatnaik di media sosial adalah menyalahkan diri sendiri kerana mendapat seorang suami yang bergaji kecil dan tidak dapat memenuhi kehendak-kehendak saya terhadap pakaian mewah dan barangan kosmetik.

PERNAH beberapa kali, sewaktu terjaga di tengah malam, saya bercadang untuk  memuatnaik status di media sosial, saya terlihat suami saya sedang solat malam, berwirid dan berdoa. Lama sekali doanya, kadangkala terdengan esakan tangisnya dalam doa.

SERINGKALI seusai solat malam, suami saya mengucup dahi saya dan menyelimutkan saya, sedangkan dia tidak pernah tahu bahawa saya tidak tidur ketika itu.

MESKIPUN saya mampu memandu dan mempunyai kenderaan sendiri, pergi dan balik saya dari kerja diambil oleh suami saya. Adalah menjadi kebiasaan bagi saya memarahinya sekiranya terlewat mengambil saya di pejabat sewaktu hendak pulang.

MANA-MANA pasangan yang berkahwin, anak-anak merupakan penyeri hidup. Usia perkahwinan kami yang sudah menjangkau dua tahun dan tidak mempunyai cahawa mata tidak dijadikan alasan oleh suami saya untuk berkahwin.

PUAS saya membangkitkan perasaan marahnya kerana kami tidak mempunyai anak dengan pelbagai kata-kata yang mencabar ego seorang lelaki, tetapi dia kelihatan tenang.

BEBERAPA bulan lalu, suami saya jatuh sakit. Kepalanya pening, panas dan darah keluar melalui hidung. Pemeriksaan doktor mendapati ada ketumbuhan pada otak suami saya.

HANYA selepas tiga tahun kami berkahwin, barulah saya sedar, ALLAH lebih menyanyangi suami saya yang soleh itu. Mungkin ALLAH tak mahu suami saya terus-terusan  sakit hati dan memendam perasaan menjalani kehidupan berkeluarga bersama saya.

SAYA mulai sedar dan insaf betapa dosa-dosa saya pada suami selama ini. Dengan kelulusan tinggi, berpangkat dan berjawatan tinggi, saya telah merendah suami saya. Setinggi-tinggi Gunung Everest, tinggi lagi ego seorang wanita seperti saya.

TIGA bulan lepas, saya tidak didatangi haid dan hasil pemeriksaan doktor saya disahkan mengandung tiga minggu. Suami saya pula tidak lagi menghantar dan mengambil saya pergi dan balik kerja. Doktor menasihatkannya agar banyak berehat dan usah terdedah kepada kesesakan jalanraya yang mampu membuatkan pemandu tertekan dan sakit jiwa.

SAYA memberitahu suami akan berita gembira bahawa saya telah mengandung. Dia menitiksan airmata, tanda sedih kerana dia tahu hayatnya tidak lama untuk melihat zuriatnya sendiri.

SEKARANG saya melakukan hampir semua perkara sendiri, meski pun masih memiliki suami. Suami saya berusaha sedaya upaya seperti selalu membantu kerja-kerja rumah meringankan beban tugas saya, meski pun acapkali dia mengadu pening, sakit kepala dan pitam di hadapan saya.

BEBERAPA hari lepas, ALLAH menjemput suami saya kembali ke hadratNYA. Saya meraung sekuat hati saya, meski pun cuba ditenteramkan oleh saudara mara dan sahabat handai.

TUJUAN saya menulis pada ASPIRASI PERDANA ini bukanlah untuk mendedahkan aib saya atau menceritkan keburukan saya sebagai seorang isteri.

SAYA  sekadar ingin melampiaskan tekanan perasaan selain berkongsi kisah dengan pembaca dengan harapan kita sebagai isteri tidak mensia-siakan peluang untuk berbakti pada suami, apatah lagi jika kita mempunyai seorang suami yang baik dan tidak mengabaikan tanggungjawabnya.

ADALAH lebih baik kita berusaha menjadi seorang isteri yang tahu menghargai seorang suami yang menjadi kunci syurga kita kerana apabila nasi sudah menjadi bubur, sesal kemudian tiada gunanya.

Siti Zabedah Kasim                                                                                                                       (bukan nama sebenar)

Be the first to comment