Malaysia Perlu Akta Halal Kekang Kes Seperti Daging Babi dan Kambing Impot Dari Berulang

KUALA LUMPUR: “Sesiapa pun tidak boleh memastikan kesucian dari segi syarak daging kambing yang berada bersama daging babi dalam satu kontena,” demikian kenyataan Pengerusi Hal Ehwal Islam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Dr. Amimi Amir.

Beliau yang juga Ahli Dewan Tertinggi PERKASA berkata, pendedahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengenai daging kambing bercampur dengan daging babi amat membimbangkan dan meresahkan umat Islam dalam negara ini.

Kenyataan PERKASA mengenai perkara ini ekoran dari pendedahan Pengarah MAQIS Johor/Melaka, Siti Nur Ahmad  bahawa pemeriksaan awal MAQIS menemui 160 kotak daging babi disusun secara bercampur dengan 1,142 kotak daging kambing pada kontena pertama.

Mengulas mengenai isu 74 kontena daging impot lolos dari pemeriksaan yang tular di media sosial pula, Ketua Pengarah MAQIS menafikan berita yang tular di media sosial  dan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan apa jua isu yang melibatkan kesihatan, halal dan sebagainya terhadap kemasukan barangan makanan ke negara ini.

Sementara itu Pengerusi Lujnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Haji  Zainal Abidin Kidam berkata tindakan pantas Jabatan Perkhidmatan Kuarantindan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) itu perlu disusuli tindakan lanjut oleh agensi-agensi berkaitan untuk menjejaki kontena selainnya yang mungkin telah sampai kepada pengimpot atau pengedar supaya diadakan sekatan agar tidak berlaku penjualan kepada awam.

Zainal menganggap bahawa kecurangan dan penipuan sebegini tidak boleh dikompromi, pendakwaan serta hukuman maksimum wajar dikenakan sekiranya terdapatnya bukti-bukti kukuh.

Setakat ini Malaysia masih belum mempunyai suatu peruntukan undang-undang khusus berkenaan status halal dan haram  berhubung aktiviti-aktiviti penggunaan tanda halal, pensijilan halal dan seumpamanya terhadap semua jenis perniagaan, perkhidmatan dan barangan bagi kegunaan umat Islam dan/atau rakyat Malaysia.  Ringkasnya, tiada AKTA HALAL (di peringkat Persekutuan).

Urusan pensijilan halal, penggunaan logo halal Malaysia dan amalan patuh syariah diterajui oleh pihak berwibawa seperti  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan dibantu oleh beberapa agensi kerajaan pusat.

Isu status halal dan haram sebegini sudah lama dipolemikkan serta sangat sensitif kepada umat Islam. Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia wajar menjadikan kes percampuran daging kambing dan babi impot sebagai batu sempadan dan kajian segera sangat diperlukan agar ianya menjadi perintis kepada penggubalan suatu Akta Halal Kebangsaan.

Advertisements

Be the first to comment