Empat soalan mengenai 1MDB, masing-masing satu dari Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Kelana Jaya, Seremban dan Segambut telah tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat, demikian ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Azalina Othman Said.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab tuduhan kononnya Parlimen sengaja menyembunyikan keterangan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Azalina melalui kenyataan medianya yang diedarkan pada wartawan menganggap bahawa tuduhan yang dilemparkan sebagai tidak berasas.

Menurut Azalina, soalan-soalan yang tidak tersenarai mungkin berada dalam pertimbangan mahkamah atau bercanggah dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Tindakan pembangkang memperbesarkan isu ini hanya menunjukkan mereka ketandusan isu untuk dibawa ke Parlimen”, kata Azalina.

Pembangkang seharusnya membawa isu-isu yang memberi keutamaan kepada rakyat setempat di kawasan masing-masing dan bukannya mengitar semula isu yang sama yang telah selesai melalui pelbagai proses siasatan dan perundangan.

Azalina juga berharap agar semua Ahli-Ahli Parlimen khususnya Pembangkang memanfaatkan tempoh 12 hari persidangan ini serta mematuhi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang telah ditetapkan.

 

Advertisements

1 Trackback / Pingback

  1. Selepas Azalina, Pandikar Pula Buat Hal – ASPIRASI PERDANA