Indonesia Tawar Biasiswa Khas Kepada Rakyat Malaysia


JAKARTA 26 Julai – Sebanyak 10 biasiswa telah ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia kepada rakyat Malaysia yang terpilih dengan dua daripadanya telah pun diisi setakat ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu ketika menghadiri pertemuan dua hala dengan kementerian berkenaan hari ini.

Ujar Khair, Malaysia menyambut baik tawaran yang dikemukakan oleh Indonesia itu, namun, belum membuat sebarang hebahan kepada mereka yang berminat untuk memohonnya.

“Bagaimanapun, kita akan berusaha mengisi lapan lagi kekosongan untuk mendapatkan biasiswa itu dengan tumpuan pastinya diberikan kepada para guru.

“Sebenarnya, biasiswa ini bukanlah melibatkan bidang pengajaran, sebaliknya lebih kepada pertukaran budaya iaitu untuk memberi peluang kepada para peserta mendalami budaya serta bahasa Indonesia,” katanya.

Hadir sama pada pertemuan dua hala itu ialah Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan rakan sejawatnya dari Indonesia yang juga Presiden Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) yang baharu, Muhadjir Effendy.

Mengulas lanjut, Khair memberitahu, pihaknya akan berjumpa dengan dua penerima biasiswa itu bagi mendapatkan maklum balas mereka mengenai program yang ditawarkan dalam biasiswa tersebut.

Daripada pertemuan itu, kita akan cuba memperkemaskan segala urusan berkaitan bagi memudahkan penerima biasiswa yang sama selepas ini agar mendapat sokongan daripada kerajaan Malaysia untuk ke sini (Indonesia).

Selain itu, kita juga akan meneliti bagaimana mereka akan mendapat peruntukan yang secukupnya semasa mengikuti program yang ditawarkan menerusi biasiswa itu di Indonesia,” kata Khair. 

UTUSAN ONLINE

Advertisements

Be the first to comment