Selepas Azalina, Pandikar Pula Buat Hal

KUALA LUMPUR 26 Julai – ASPIRASI PERDANA sebelum ini memaparkan bidasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Azalina Othman berhubung tuduhan pembangkang Parlimen sengaja menyembunyikan keterangan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Siang tadi, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bukan sahaja menafikan dakwaan pembangkang kononnya beliau menolak sebarang soalan berkaitan 1MDB,  malah menegaskan 19 soalan berkaitan 1MDB sudah pun diluluskan untuk dijawab.

Isnin lepas, Azalina menganggap Ahli-ahli Parlimen pembangkang ketandusan isu apabila mengitar semula isu 1MDB, membesar-besarkannya dan membawa ke Parlimen berbanding isu-isu setempat kawasan masing-masing.

Kenyataan Pandikar Amin bahawa keputusan beliau menolak kira-kira 30 soalan berkaitan 1MDB memperkukuhkan lagi kenyataan Azalina sebelum ini memandangkan terdapatnya soalan-soalan yang dikemukakan tidak mematuhi peraturan mesyuarat yang ditetapkan.

Menurut Pandikar Amin, “Pada sesi ini sebanyak seribu lebih soalan dihantar oleh Ahli Parlimen. Saya kena pastikan setiap soalan tidak melanggar peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Saya mesti ikut peraturan mesyuarat 23(C), kerana ada soalan yang tidak benar, sengaja digunakan untuk tujuan politik. Empat soalan mengenai 1MDB juga dibenarkan Isnin lalu,” ujar beliau pada  sidang media di Parlimen siang tadi.

Pandikar Amin mengadakan sidang media bagi mwnjawab tohmahan dan tuduhan pembangkang bahawa beliau gagal menjalankan tanggungjawab dengan telus sebagai Speaker Dewan Rakyat apabila menolak soalan-soalan berkaitan 1MDB.

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 23(C),  sesuatu pertanyaan tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, puji atau keji atau mengandungi kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakitkan hati ataupun mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara-perkara remeh.

 

Be the first to comment