ANAK TIDAK SAH TARAF: Bidangkuasa Sivil atau Syariah?

Berdasarkan Akta 303 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melalui Seksyen 2. Tafsiran, konsep anak ‘tidak sah taraf’ didefinisikan  sebagai anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah. 

Majlis fatwa Wilayah Persekutuan memperincikannya sebagai; “Kalau anak dalam kandungan itu lahir setelah lebih enam bulan dari tarikh ibunya bernikah dengan lelaki itu, maka lelaki itu dikira sebagai anak yang sah taraf dan boleh dinasabkan kepada lelaki itu (suami ibunya) walaupun anak itu lahir hasil dari perzinaan.”

Sementara itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-44 bersamaan 25 Jun 1998 mendefiniskan anak tidak sah taraf sebagai;

(i) anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

(ii) anak yang dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

(iii) anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu, mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Kedua-dua pihak berkuasa agama tersebut mempunyai hujah-hujah dan dalil tersendiri berdasarkan kepada tahap keilmuan, kefahaman serta tafsiran mereka terhadap sumber al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ dan Qias.

Majoriti pihak berkuasa agama negeri-negeri juga mempunyai tafsiran, fatwa dan enakmen yang sama atau hampir sama sebagaimana Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Berbeza dengan Perlis di mana Jawatankuasa Syariah Negeri yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin yang bermesyuarat pada September 2008 telah memutuskan “Anak yang lahir kurang daripada 6 bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami.”

Mufti Perlis, Sahibus Samahah Dr. Juanda Yahya pada Februari 2012 pernah membuat saranan supaya mengkaji semula fatwa persidangan Jawatankuasa Fatwa, Majlis Fatwa Kebangsaan 1971  yang memutuskan bahawa “perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan, tetapi anaknya tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu, tidak dapat pusaka daripadanya, tidak menjadi mahram kepadanya dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.”

Perbezaan pandangan dan fatwa di antara negeri-negeri di atas merupakan asas kukuh bagi penggubalan apa-apa dasar dan perundangan mengenai Islam serta pelaksanaannya selain dari undang-undang tubuh setiap negeri yang meletakkan Raja, Sultan atau Yang Di Pertuan Agong sebagai “Ketua Bagi Hal Ehwal Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu.”

Adalah tidak wajar bagi mana-mana umat Islam memfailkan kes nasab keturunan zuriat mereka yang melahirkan anak tidak sah taraf melalui perundangan sivil dengan mengenepikan perundangan syariah mengenainya.

Sekiranya ia dibenarkan atas pelbagai alasan ‘suci’ seperti telah bertaubat dan bimbangkan stigma psikologi yang menimpa anak tidak sah taraf tersebut, kita seolah-olah mengizinkan 159,725 lagi anak tidak sah taraf (umat Islam) dibinkan kepada suami si isteri.

Selain bertentangan dengan pandangan majoriti ulama’ mazhab yang muktabar, ia juga mampu mencetuskan pelbagai masalah lain di kalangan umat Islam seperti pembahagian harta pusaka, kewalian, kesaksian dan keturunan.

Dan pada akhirnya, stratifikasi sosial umat Islam akan hancur musnah dalam jangkamasa panjang. Apakah ini sebenarnya yang diperjuangkan oleh golongan seperti Sisters in Islam dan sekutu-sekutunya?

Maka, tidak hairanlah ulama’ seperti Sahibus Samahah Tan Sri Dato’ Seri Hj. Harussani Zakaria dimusuhi kerana tegas mempertahankan fatwa pada 1971 tersebut dan mahu agar ianya tidak perlu dikaji semula.

Advertisements

Be the first to comment