Anak Tak Sah Taraf: Mufti Mahu JPN Buat Rayuan Di Mahkamah Persekutuan

SHAH ALAM: Selain dari mahu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat rayuan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sendiri akan membuat permohonan sebagai pencelah perbicaraan sekiranya JPN memanjangkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Rayuan pada 25 Julai lalu membenarkan rayuan yang dikemukakan pasangan yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa Ketua Pengarah JPN menggantikan nama anak mereka yang berbin atau berbinti “Abdullah” dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

Mengulas isu tersebut, Sahibus Samahah (SS) Dato’ Mohd  Tamyes Abd. Wahid menyatakan; “Jawatankuasa Fatwa Selangor turut menyokong tindakan JPN yang masih merujuk kepada keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu pendaftaran bagi anak tidak sah taraf yang melibatkan orang Islam kerana berkaitan dengan Hukum Syarak.

“.   .   .   . dan sebab itu kita mohon dan mengalu-alukan tindakan JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut ke Mahkamah Persekutuan,” tambah beliau.

Menurut Mohd Tamyes lagi, keputusan membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya itu bertentangan dengan hukum syarak seperti yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan. 

Kenyataan Mohd Tamyes tersebut disokong penuh oleh Sahibus Samahah (SS) Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan.

Zulkifli dipetik sebagai menganggap amalan menasabkan anak zina atau Anak Tak Sah Taraf kepada penzina adalah amalan masyarakat jahiliyah yang telah lama dibatalkan Islam.

Menurut Zulkifli lagi; “Kami berpendapat bahawa hujah yang melarang dibinkan dan dibintikan anak tak sah taraf kepada ayah biologinya berdasarkan dalil kuat daripada nas al-Quran, hadith, amalan sahabat dan jumhur fuqaha.”

Kenyataan kedua-dua mufti tersebut jelas menolak hujah sesetengah pihak yang berselindung di sebalik  alasan rapuh kononnya mahu memelihara aib dan maruah pasangan yang berzina dan keluarga mereka.

Namun demikian, setakat ini belum ada apa-apa kenyataan rasmi dari mana-mana pihak samada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan membuat permohonan mencelah di peringkat Mahkamah Persekutuan atau tidak sebagaimana MAIS dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). 

 

Advertisements

Be the first to comment