MENGAPA DUN SELANGOR HANYA JAWAB 36 DARI 297 SOALAN ?

Kerajaan Negeri Selangor dianggap tidak serius sebagai Adun apabila hanya menjawab 36 daripada soalan semasa Sidang Dun, baru-baru ini.

Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, mereka tidak serius dalam membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat.

“Dengan mandat sebagai Adun yang merupakan dewan perundangan tertinggi negeri dalam membincangkan hal ehwal rakyat serta dasar kerajaan negeri, ternyata mandat yang diberikan kepada mereka dianggap ‘enteng’.

“Ini terbukti pada sidang Dun yang sepatutnya bersidang selama 10 hari tetapi ditamatkan awal hanya dua hari. Kata seorang petugas, terdapat 297 soalan yang dinantikan untuk dijawab oleh pihak kerajaan negeri, namun hanya 36 sahaja soalan yang sempat dijawab.

“Apakah ini menggambarkan kesungguhan mereka dalam menjalankan amanah yang diberikan?,” katanya menerusi kenyataan baru-baru ini.

Zein Isma berkata, dengan adanya Presiden PKR sebagai Adun Kajang. Timbalan Presiden sebagai Menteri Besar, PKR sepatutnya dilihat sebagai parti politik hebat dalam menguruskan pentadbiran negeri Selangor.

“Apakah kerana Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen,dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga merupakan ahli Parlimen, maka mereka lebih berminat bertanyakan soalan di Parlimen dari menjawab soalan di Dun,” soalnya.

Menurutnya lagi, mereka bernafsu besar untuk menjatuhkan kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga mengabaikan apa yang menjadi tanggungjawab di peringkat negeri.

“Apakah manusia yang sewenang-wenangnya mengkhianati amanah rakyat layak untuk diletakkan harapan bagi menyelamatkan Malaysia sebagai mana yang mereka uar-uarkan?

“Bak kata pepatah Melayu ‘meludah ke langit, akhirnya jatuh ke muka sendiri’ dan gah berkokok tapi ekor bergelumang tahi. Itulah gambaran tatacara tadbir urus negeri pimpinan Pakatan Harapan yang tidak boleh diharapkan,” katanya.

Sumber:- Sinar Harian

1 Trackback / Pingback

  1. ADUN Selangor Hanya Mengeluh, MP Pakatan Terus Bertindak – ASPIRASI PERDANA