Penyelesaian Dua Negara Palestin-Israel Dibantah

“Penyelesaian dua negara Palestin-Israel sebagai jalan keluar bagi isu ini memperlihatkan bahawa YB Menteri dan Kementerian Luar Negeri atau Kerajaan Malaysia sendiri tidak jelas dengan kedudukan isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa ini menurut perspektif sejarah dan akidah Islam”,  demikian ditegaskan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan.

Pendirian rasmi PAS Pusat ini susulan kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Anifah Aman pada Mesyuarat Luar Biasa Terbuka Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkenaan penyelesaian dua negara (two-state solution) sebagai penyelesaian yang paling berdaya maju bagi kedua-dua pihak (Israel dan Palestin).

“Malaysia percaya penyelesaian dua negara kekal sebagai yang paling berdaya maju bagi kedua-dua pihak,” jelas Anifah dalam satu kenyataan di Mesyuarat Luar Biasa Terbuka Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki, semalam.

PAS Pusat menyifatkan pendirian Kerajaan Malaysia dan OIC dalam perkara ini sebagai membelakangkan perjuangan dan pengorbanan rakyat Palestin selama ini yang tertindas angkara kezaliman Zionis Yahudi.

Selain dari penyelesaian dua negara, Malaysia juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan  Resolusi Keselamatan PBB 2334 (2016) bagi menangani isu keganasan dan ketegangan di Baitulmaqdis Timur, berikutan rancangan Israel meningkatkan pembinaan unit perumahan kepada kadar lebih 30 peratus berbanding tahun lalu. 

Anifah bagaimana pun mengakui bahawa, “Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat ini adalah bukti sokongan teguhnya kepada perjuangan rakyat Palestin. Kebebasan untuk beribadah adalah hak dijamin mengikut undang-undang antarabangsa. Kita mesti menentang sebarang pelanggaran hak terbabit.”

Selain dari cadangan penyelesaian dua negara, Malaysia juga mengulangi gesaan supaya Israel menyediakan akses tidak terhalang ke Masjid Aqsa dan menghentikan semua aktiviti yang boleh memberi kesan mengubah status quo tanah suci Islam.

Konflik Palestin-Israel ini telah berlarutan selama puluhan tahun semenjak puak zionis Yahudi berjaya menawan Bukit Zion dan membina petempatan serta sebuah negara bernama Israel setelah menang Perang Arab-Israel 1948.

Sehingga kini, samada Malaysia, Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) mahu pun PBB masih gagal memberikan hak dan kedaulatan bernegara kepada rakyat Palestin, sedangkan Israel saban tahun semakin meluaskan wilayah geografi negaranya.

 

Be the first to comment