ADUN Selangor Hanya Mengeluh, MP Pakatan Terus Bertindak

ASPIRASI PERDANA sebelum ini menyiarkan kenyataan Ketua Penerangan UMNO Selangor Datuk Hj. Zein Isma Ismail berkenaan  sikap Kerajaan Negeri Selangor dianggap tidak serius sebagai Adun apabila hanya menjawab 36 dari 297 soalan yang dikemukakan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini.

UMNO Selangor juga membangkitkan isu tentang perjalanan Sidang DUN yang ditamatkan lebih dari awal lapan  hari sedangkan ianya sepatutnya diadakan sepuluh hari bagi membincangkan pelbagai masalah rakyat dan kerajaan negeri.

ADUN Semenyih, YB Dato’ Johan Abd Aziz mengulas isu ini dengan katanya; “ . . . . saya sendiri mempunyai 20 soalan, 10 soalan lisan dan 10 bertulis yang akhirnya tidak dapat didengari di persidangan DUN ekoran ditamatkan lebih awal. Bagaimana kita mahu mengutarakan permasalahan rakyat jika kerajaan negeri mengelak dengan menamatkan persidangan lebih awal dari yang sepatutnya?”

Demikian juga ADUN Kota Damansara, YB Halimahton Saadiah melahirkan rasa kecewanya dengan tindakan Speaker DUN Selangor YB Hannah Yeoh yang hanya membenarkan Sidang DUN pada kali ini berlangsung selama dua hari sahaja.

Rungutan dan keluhan ADUN-ADUN Barisan Nasional dan pemimpin UMNO Selangor tersebut tidak menggambarkan kesungguhan mereka menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang dipimpin oleh YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Mohamed Azmin Ali.

Mengapa ia tidak menggambarkan kesungguhan ADUN-ADUN Barisan Nasional menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor?

BERBEZA dengan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan di mana YB Hee Loy Sian dari PJ Selatan  memfailkan saman terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai tindak balas kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menjalankan tanggungjawabnya.

BUKAN SEKADAR itu, pemimpin de facto, Penasihat dan Ketua Parlimen DAP,  YB Lim Kit Siang bukan sahaja menyokong penuh tindakan saman Loy Sian malah menempelak  menteri yang bertanggungjawab, Azalina kerana gagal memastikan kebebasan Parlimen dan tidak kehilangan kuasa seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan dan doktrin pengasingan kuasa dalam kalangan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman.

“Saya menyokong penuh tindakan undang-undang yang diambil oleh Loy Sian terhadap Pandikar,” tegas Kit Siang.

Selain dari tindakan saman tersebut, Kit Siang juga menyokong penuh kenyataan para pemimpin pakatan pembangkang yang lain dengan katanya, “Begitu juga dengan kenyataan Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran dan peguam Latheefa Koya yang mengatakan bahawa tindakan itu bertujuan untuk menegakkan martabat dan peranan Parlimen.”

SEKIRANYA Ahli Parlimen Pakatan Harapan mampu mengemukakan tindakan saman terhadap Speaker Dewan Rakyat kerana tidak membenarkan beberapa soalan yang tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat, mengapakah para ADUN Barisan Nasional Selangor hanya mampu mengeluh dan mengkritik Sidang  DUN Selangor tanpa sebarang tindakan konkrit dan asertif?

RAKYAT MALAYSIA memerhati dan menganalisa tindakan setiap pemimpin mereka.

 

Be the first to comment