Pulau Pinang Perlu Telus Dana Negeri – Ahli Dewan Undangan Negeri

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri perlu mengisytiharkan jumlah terkini caruman yang dikutip dari pemaju-pemaju bertujuan membina dan membaikpulih sistem perparitan dan pengairan  negeri itu.

Ia berikutan terdapatnya dakwaan bahawa wang caruman kutipan tersebut samada tidak atau belum digunakan lagi.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Hajjah Norlela Ariffin.

Menurut Norlela, jumlah peruntukan yang telah atau masih belum digunakan bagi membaikpulih sistem saliran, perparitan dan pengairan perlu dilaporkan memandangkan setiap pemaju di Pulau Mutiara itu dikehendaki menyumbangkan lima puluh ribu ringgit (RM50,000) seekar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membiayai projek-projek pencegahan banjir.

Laporan Audit Negara 2016 – Siri 1 mendedahkan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) hanya menggunakan  RM2.2 juta dari kutipan caruman sebanyak  RM63.39 juta sepanjang 2008 hingga  June 2016.

MPSP sepatutnya melaporkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pulau Pinang setiap peruntukan dan perbelanjaan.

Norlela yang dipetik oleh The New Straits Times sebagai berkata; “Isunya adalah dana tersebut tidak dimanfaatkan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan Seberang Perai. Contohnya, di kawasan saya, Penanti, terdapat sembilan kawasan banjir yang  sewajarnya beroleh manfaat besar dari dana ini.”

Meski pun Norlela berulangkali bertanyakan tentang peruntukan tersebut, jawapan yang diterimanya adalah peruntukan tersebut “berada di dalam akaun ahli majlis”  kerana “kesilapan teknikal.”

“Mereka memberitahu saya bahawa peruntukan tersebut disalurkan melalui ahli majlis kepada suatu akaun amanah secara berkala.  Bagaimanapun, jumlah projek pengairan dan bayaran yang telah dibuat menggunakan dana ini tidak didedahkan (dilaporkan) oleh kerajaan negeri,” jelas Norlela lagi.

Utusan Malaysia pada 1 April 2017 lalu melaporkan lebih sepuluh kawasan di Pulau Pinang  dilanda banjir sementara ADUN Pulau Betong, Datuk Muhammad Farid Saad kelmarin menyalahkan pihak MPSP kerana kegagalan agensi kerajaan negeri tersebut menyalurkan wang caruman kutipan dari pemaju-pemaju kepada JPS  sebagai punca banyak projek-projek pencegahan  banjir gagal dilaksanakan.

  

Menurut Farid, laporan audit melaporkan  bahawa dana tersebut sepatutnya diserahkan kepada JPS di mana atas arahan  Pengarah JPS projek-projek pencegahan banjir boleh dilaksanakan di kawasan Seberang Prai dan memanfaatkan penduduk sekitar.

“Pada 2016 sahaja, empat kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dilanda banjir kilat sebanyak 21 kali,” jelas Farid.

Masalah banjir dan banjir kilat merupakan masalah yang tidak pernah selesai di Pulau Pinang  semenjak 2008 meski pun Ketua Menteri Joseph Lim pernah menyatakan ianya akan selesai dalamasa lapan bulan sahaja.

Advertisements

1 Trackback / Pingback

  1. SPRM Tahan Exco Pulau Pinang Selepas Rakam Kenyataan – ASPIRASI PERDANA