Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Pondok Dan Pusat Tahfiz Perlu Daftar

BALIK PULAU – Sekolah Agama Rakyat (SAR), sekolah pondok serta tahfiz digesa mendaftar dengan pihak berkuasa agama negeri atau Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memudahkan kerajaan pusat menyalurkan bantuan sewajarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan pusat menyediakan pelbagai bantuan bagi memastikan pelajar di sekolah-sekolah berkenaan memperoleh tahap pendidikan yang sama seperti sekolah agama berdaftar dengan KPM atau pihak berkuasa agama negeri.

“Kerajaan pusat amat prihatin terhadap pendidikan agama Islam, khasnya di Sekolah Agama Negeri (SAN) dan SAR termasuk sekolah pondok serta sekolah tahfiz,  jadi saya minta sekolah-sekolah berkenaan yang belum berdaftar dapat berbuat demikian segera.

 

“Bagi 2017 sahaja, kerajaan pusat meluluskan peruntukan sejumlah RM50 juta untuk bantuan kepada sekolah pondok dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) serta RM30 juta untuk Penyelarasan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN),” katanya pada majlis penutup Majlis Ihtifal Ilmi SMAR Malaysia di Maahad AlMashoor AlIslami di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha dan pertandingan yang disertai 630 pelajar SMAR dari seluruh negara itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.

Jamil Khir berkata bantuan yang disalurkan oleh kerajaan pusat itu bertujuan untuk mempertingkatkan prasarana sekolah SAR, sekolah pondok dan sekolah tahfiz agar setanding dengan kemudahan pendidikan arus perdana.

Katanya ia juga dengan harapan agar pelajar-pelajar aliran itu dapat mempertingkatkan kualiti dan kejayaan seterusnya lebih berdaya saing.

Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan program Majlis Ihtifal Ilmi SMAR itu sangat penting dalam memperkasakan aspek kokurikulum di sekolah-sekolah agama terutama SMAR kerana penglibatan pelajar dalam aktiviti itu sangat penting dalam membentuk jati diri, menajamkan minda serta semangat untuk bersaing.

“Peluang menyertai pertandingan ini juga seharusnya direbut pelajar bagi mendapatkan 10 markah merit untuk aktiviti kokurikulum bagi tujuan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Universiti Awam (UA) di dalam negara.

“Jakim sentiasa berusaha bagi memastikan pelajar-pelajar sekolah agama tidak terpinggir daripada arus pendidikan perdana dengan menyediakan pelbagai bantuan, latihan serta peluang pembelajaran yang lebih sistematik dan berdaya saing,” katanya. –Sumber:- Bernama

Be the first to comment