Kes FIC: Tiga Lagi Beri Keterangan

PUTRAJAYA: Tiga individu, termasuk bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda Investment Corporation (FIC), Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Difahamkan, mereka dipanggil untuk diambil keterangan berhubung pembelian hotel oleh FIC di Kensington, London.

Noor Ehsanuddin turut dipanggil SPRM, semalam dan sudah memberi keterangan hampir enam jam.

Dua lagi individu ialah Pengarah Bahagian Undang-undang FELDA, Helwani Lukman dan rakan kongsi kepada seorang peguam yang ditahan reman sebelum ini kerana disyaki menguruskan proses dokumentasi perjanjian jual beli antara pemilik asal dan syarikat ketiga sebelum dijual kepada FIC.

Noor Ehsanuddin dan Helwani tiba di pekarangan SPRM secara berasingan pada kira-kira jam 10 pagi tadi, manakala seorang lagi individu tiba pada jam 11.50 pagi.

Noor Ehsanuddin kemudiannya dilihat keluar dari pekarangan SPRM pada jam 12 tengah hari dan dua lagi individu masih berada di dalam untuk membantu siasatan.

Difahamkan, SPRM akan memanggil kembali Noor Ehsanuddin; Pengarah FIC, Datuk Nik Azman Mohamed Zain dan bekas ahli Lembaga Pengarah FIC, Datuk Dr Omar Salim, untuk memberi keterangan pada jam 11 pagi esok.

Sebelum ini, FIC dilapor membelanjakan jutaan ringgit pada tahun 2013 hingga 2015 bagi membeli dua buah hotel empat bintang, namun ketika itu pembayaran dipercayai melebihi harga pasaran.

FIC ditubuhkan FELDA pada 2013 sebagai usaha mempelbagaikan portfolio perniagaan agensi berkenaan, khususnya dalam pelaburan hartanah, perhotelan dan hospitaliti.

Sumber:- Berita Harian 

 

Be the first to comment