Demi Negara, Akta 164 Diluluskan Parlimen

“Maknanya dia ada pilihan, seseorang yang masuk Islam memang terikat dengan undang-undang keluarga Islam, itu hak dia, tetapi ini soal bagi keluarga yang ditinggalkan olehnya, tak kan hendak dibiarkan terkapai-kapai.”, jelas Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut melahirkan kemarahannya kepada mereka yang memeluk Islam tetapi tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suami dengan katanya;  “Saya belum kahwin pun saya marah, tiba-tiba lari, tidak mahu bayar nafkah, menggunakan Islam sedangkan Islam itu agama yang bertanggungjawab.

“Tak kan dia masuk Islam kemudian lari dari tanggungjawab menjaga pasangannya dan anak-anaknya, itu mana boleh,” tambah Azalina. Azalina berkata demikian ketika mengulas isu Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 yang bertujuan meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau (Akta 164).

Rang undang-undang tersebut diluluskan Dewan Rakyat malam tadi dan keputusannya diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kira-kira 12.40 tengah malam.

Laporan Bernama memetik kenyataan Azalina bahawa pindaan itu bertujuan memberi ruang kepada pasangan yang berkahwin dan telah memeluk agama Islam atau salah seorang dari pasangan itu yang masih berada dalam agama Islam untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil.

Natijah kepada kelulusan rang undang-undang ini adalah pasangan suami atau isteri yang enggan menamatkan perkahwinan mereka tetapi tidak menjalankan tanggungjawab terhadap pasangannya, anak-anak atau harta mereka bakal berhadapan dengan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamal sivil, sekiranya pasangan mereka memfailkan petisyen.

Mengulas mengenai pandangan beberapa pihak yang menganggap rang undang-undang ini sebagai tidak menepati kehendak syarak, Azalina menegaskan bahawa pasangan yang beragama Islam masih terikat kepada undang-undang perkahwinan Islam dan Mahkamah Syariah.

“Maknanya dia ada pilihan, seseorang yang masuk Islam memang terikat dengan undang-undang keluarga Islam, itu hak dia, tetapi ini soal bagi keluarga yang ditinggalkan olehnya, tak kan hendak dibiarkan terkapai-kapai.

Ia tidak menggugurkan hak pasangan beragama Islam di Mahkamah Syariah sebaliknya menggalakkan mereka agar  bersikap lebih bertanggungjawab untuk menceraikan pasangannya di Mahkamah Sivil.

Pindaan itu juga bagi memastikan tiada mana-mana pihak mencabar kesahan undang-undang itu di bawah Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan dan ia menepati kehendak dan kepentingan negara sebagaimana yang telah dijelaskan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Be the first to comment