Enggan Tandatangai IBRA, Selangor Punyai Kaedah Cegah Rasuah Lebih Baik

KUALA LUMPUR 17 Ogos: ASPIRASI PERDANA  sebelum ini melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor masih belum menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBRA) meski pun pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah pun menghubungi kerajaan negeri bagi menetapkan tarikh yang sesuai.

Meski pun beberapa faktor dan kemungkinan boleh dianalisa bagi mencari sebab musabab kelewatan Selangor menandatangi IBRAR, kenyataan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Datuk Iskandar Abdul Samad merungkai segala persoalan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bandar Dan Kehidupan Bandar itu dilaporkan berkata kerajaan negeri enggan menandatangani ikrar itu kerana mempunyai kaedah pencegahan rasuah  dan salahguna kuasa yang lebih baik di semua peringkat, termasuk penjawat awam.

Iskandar  bagaimanapun tidak memperincikan kaedah yang digunapakai oleh kerajaan negeri Selangor dalam mencegah dan membanteras rasuah serta salahguna kuasa itu.

Kenyataan Iskandar tersebut memberi gambaran bahawa Selangor tidak memerlukan sebuah agensi penguatkuasaan rasuah seperti SPRM bagi membantu kerajaan negeri mencegah dan membanteras gejala rasuah di kalangan para pemimpin dan penjawat awam negeri tersebut.

Sikap dan pendirian Menteri Besar Selangor YAB Dato’ Mohamed Azmin Ali dalam perkara ini (IBRAR) sangat ditunggu-tunggu memandangkan beliau merupakan ketua eksekutif kerajaan negeri.

Beliau juga sedang berhadapan cabaran-cabaran besar apabila pelbagai pendedahan, pembongkaran dan laporan rasuah berlaku dalam pentadbiran beliau sebaik sahaja mengambilalih jawatan dari Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berita Harian dan Astro Awani pada awal tahun ini melaporkan tangkapan besar-besaran di beberapa lokasi di Sungai Buloh, Kajang dan Pandan, Selangor berhubung isu rasuah kerana melindungi kegiatan rumah-rumah maksiat dan premis.

Selain dari itu, seorang pembantu khas kepada anggota Exco kerajaan negeri ditahan SPRM di samping majikannya mengisytiharkan tidak akan bertanding pada pemilihan parti, dikhuatiri dijadikan modal kempen oleh pesaingnya, gara-gara rasuah.

Kenyataan Iskandar itu mendapat maklumbalas  “Saya tak terkata,” oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dan beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

Selangor merupakan satu-satunya kerajaan negeri yang masih belum menandatangani IBRAR.

 

Advertisements

1 Trackback / Pingback

  1. Serbuan Di Selangor, SPRM Akan Keluar Kenyataan Media – ASPIRASI PERDANA