Nasihat Tabung Haji Pada Jemaah Malaysia

MEKAH 17 Ogos – Pengurus Besar Kanan Tabung Haji, Dato’ Syed Salah Syed Abdul Rahman menasihatkan jemaah haji Malaysia agar berhati-hati dengan golongan yang menawarkan pelbagai bantuan berkaitan haji pada harga murah, kerana tidak ada jaminan perkhidmatan itu sahih.
 
Walaupun ianya merupakan kes terpencil, namun ianya berlaku setiap tahun, demikian kata Pengerusi Jemaah Haji Malaysia bagi tahun 1438H itu.
 
Menurut Syed Salah; “Usah terpedaya dengan mereka yang mendakwa boleh melakukan pelbagai perkara untuk jemaah haji – menerima pembayaran dam, membantu tawaf, membaling (jamrah) dengan proksi, dan menyembelih binatang.
 
“Tidak ada cara untuk mengesahkan sama ada mereka sebenarnya melakukan perbuatan ini, atau sama ada ia dilakukan dengan betul,” tambah Syed Salah lagi pada wartawan Malaysia yang berada di sini.
 
Menurut Syed Saleh lagi, perkhidmatan sedemikan sememangnya ditawarkan oleh Tabung Haji (TH) dan jemaah haji yakin ianya dilaksanakan berlandaskan syariat Islam.
 
“Di premis kami, kami mempunyai kawalan, tetapi apabila teamu kami berjalan ke atau dari Masjidil Haram, sesetengah golongan boleh mendekati mereka dan mungkin mereka tertarik dengan tawaran (harga) yang lebih rendah.
 
“Tetapi adakah mereka pasti kesahihan perkhidmatan yang ditawarkan? Kenapa menemui pihak lain apabila TH sudah mempunyai perkhidmatan yang sama?, soal Syed Salah.
 
Selama ini TH telah menerima pelbagai maklum balas positif dari jemaah haji samada tentang penginapan atau pun perkhidmatan di pelbagai hotel dan zon di Mekah serta Madinah.
 
“Kami akan terus memberi yang terbaik dan terus memperbaiki di mana kami boleh. Setakat ini tidak ada masalah besar yang dihadapi oleh jemaah haji yang tidak dapat kita selesaikan,” ujar Syed Salah lagi.
 
Semasa di hotel masing-masing, jemaah dinasihatkan agar menghadiri semua sesi taklimat kerana ia memberikan mereka peluang menyemak dan menerapkan apa yang diajar di Malaysia dalam realiti sebenar di Mekah.
 
“Mereka juga harus bertemu dengan Pembimbing Ibadat Haji Di Tanah Suci (PIHTAS) di hotel mereka untuk menjelaskan apa-apa kebimbangan atau keraguan tentang ibadat mereka, untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar sebelum Wukuf, yang hanya berlaku sekali,” jelas Syed Saleh lagi.
 
Beliau juga mengingatkan jemaah haji untuk mengelakkan terlalu banyak pendedahan kepada cuaca panas dan kering, serta perlu kerap meminum air bagi mengelakkan dehidrasi.
 
“Kami hanya mempunyai kira-kira 16 hari untuk Wukuf, hari yang sangat penting dan kemuncak kepada musim haji. Jemaah haji perlu berada dalam tahap kesihatan maksima mereka sepanjang tempoh itu.
 
“Sekiranya tidak sihat, pergi ke klinik. Jaga pemakanan, ubat-ubatan dan tenaga mereka. Jangan terlalu mengejar ibadat sunat sehingga mereka tidak dapat melaksanakan wajib ketika di Arafah,” akhiri Syed Saleh.
Advertisements

Be the first to comment