SHIP Sasar Lahir Bumiputera Berpendapatan RM20 Ribu Sebulan

 

PUTRAJAYA, 18 Ogos — YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak hari ini melancarkan Program Kerjaya Berpendapatan Tinggi (SHIP) yang bertujuan meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam kerjaya berpendapatan melebihi RM20,000 sebulan.

Menurut Najib, program SHIP akan memfokuskan kepada golongan  yang berpendapatan pertengahan dengan pengalaman bekerja berkaitan di bidang  industri yang memerlukan tenaga mahir dan profesional seperti industri perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan, kesihatan, maritim dan aero angkasa.

Najib berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (PENERAJU).

Menurut Najib lagi, “Pendapatan tinggi sebegini dapat dicapai menerusi latihan dan persijilan khusus dalam bidang-bidang terpilih.”  Kursus-kursus dan latihan-latihan tersebut akan dibiayai oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) serta mengambil masa antara tiga hingga lima tahun.

Permohonan penyertaan SHIP akan dibuka pada akhir tahun ini di mana fasa pertama akan melibatkan 50 penerima faedah dengan pembiayaan maksimum berjumlah RM10 juta dalam industri perkhidmatan kewangan, kesihatan dan teknologi.

“Fasa seterusnya akan bermula pada tahun 2018 dengan lebih banyak lagi bidang kepakaran dan industri akan diperkenalkan secara berperingkat melibatkan 250 orang penerima,” tambah Najib.

Najib berkata insentif turut diberikan kepada peserta program tamat bidang pengkhususan yang akan dipertimbangkan untuk pengurangan pinjaman maksimum sebanyak 20 peratus.

Golongan yang berminat dan memerlukan maklumat mengenai program SHIP boleh mengakses laman sesawang Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

“Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera berada pada landasan yang betul dalam usaha membangunkan bakat Bumiputera menerusi pembiayaan di bawah tiga program terasnya iaitu program Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional,” jelas Najib lagi.

PENERAJU

Semenjak ditubuhkan PENERAJU berjaya mencapai sasaran membangunkan lebih 16,000 bakat Bumiputera melalui lebih 200 program dengan pembiayaan sebanyak RM435 juta.

“Ini bermakna 40 peratus daripada sasaran untuk membangunkan 40,000 bakat Bumiputera menjelang 2020 berjaya dicapai. Pada penghujung tahun ini, bilangan ini akan meningkat kepada 20,000 orang seperti disasarkan,” katanya.

Di samping agenda SHIP, mesyuarat Najib di PENERAJU juga turut membincangkan Petunjuk Pretasi Utama (KPI) dan melancarkan naskhah #iniceritasaya edisi kedua terbitan PENERAJU.

Akhirnya, Najib menggesa golongan belia untuk menyahut cabaran kerajaan meningkatkan pendapatan dan kerjaya masing-masing menerusi pelbagai program yang dikendalikan oleh PENERAJU.

“Meskipun serba sederhana, penerima-penerima mampu mencapai impian kerana kerajaan yang ada hari ini amat prihatin dengan masa depan mereka. Program Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera ini bakal memberi harapan baharu kepada penerima-penerima,” katanya.

Advertisements

Be the first to comment