Malaysia Negara Ke 29 Paling Aman Di Dunia – Indeks Keamanan Global

JERANTUT – Malaysia menduduki tempat ke-29 tahun ini berbanding tangga ke-30 tahun lepas daripada 163 negara yang disenaraikan dalam Indeks Keamanan Global (GPI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata pencapaian itu dilihat mampu memberikan imej baik kepada negara walaupun memperbaiki hanya satu anak tangga dalam kaji selidik terbitan Institute of Economics and Peace (IEP), yang bertujuan mengukur keamanan di peringkat global.

“Ini menunjukkan ekonomi negara masih berada dalam keadaan baik sehingga kurangnya berlaku kes-kes jenayah mahupun keganasan yang boleh menjejaskan keamanan dan kedamaian dalam kalangan masyarakat,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau merasmikan majlis pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Pahang 2017.

Turut hadir Anggota Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Baharin Idris.

Kurup berkata kestabilan negara juga disumbang oleh sikap masyarakat majmuknya yang amat cintakan kedamaian  dan berusaha sebaik mungkin untuk mengelakkan sebarang kekacauan.

“Masyarakat kita lebih suka hidup dalam suasana harmoni, saling hormat menghormati dan bersama membangunkan ekonomi negara,” katanya.

Sempena sambutan bulan kemerdekaan itu, beliau berharap rakyat terus mengamalkan kehidupan harmoni itu di samping mengibarkan bendera Malaysia sebagai lambang taat setia kepada negara.

-Bernama-

Advertisements

Be the first to comment