Buaya Korban Aidiladha Di Saratok, Sarawak

Saratok, Sarawak 1 September – Seekor buaya menjadi korban penduduk sebuah kampung apabila pemangsa reptilia itu cuba mencari lembu yang baru disembelih.

Buaya seberat 200 kg itu memasuki Kampung Kaba, Saratok apabila terhidu bau darah sembelihan lembu korban pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika penduduk kampung tersebut sedang melapah daging korban dan buaya tersebut muncul setelah menghidu bau darah lembu korban, sempena sambutan hari raya Aidiladha.

Menurut salah seorang penduduk kampung tersebut, Zamir Otman 31, buaya sepanjang 4.42 meter itu itu mulai masuk ke parit seawal jam 7 pagi dan seringkali naik ke parit dari sungai berdekatan untuk membaham ayam, itik dan ternakan lain penduduk.

“Kami menyedari buaya itu masuk ke parit seawal jam 7 pagi, malah saya sendiri membantu menjerat buaya berkenaan yang pada mulanya bertindak ganas mahu melepaskan diri. 

“Tak berapa lama kemudian, buaya berkenaan seolah-olah beralah dan mendiamkan diri. Ia dipercayai buaya sama yang sering menceroboh ke kampung kami dan sering membaham haiwan peliharaan penduduk seperti ayam serta itik, selain sering masuk ke bawah rumah penduduk ketika air pasang besar,”  jelas Zamir.

Ini adalah usaha ketiga penduduk kampung  menangkap buaya berkenaan. Sudah dua kali mereka gagal menangkapnya, lantaran terlalu licik dan ganas.

“Kini, kami menunggu pihak bertanggungjawab mengambil reptilia ini dan berharap ia tidak dilepaskan kembali ke sungai di kampung ini kerana membahayakan penduduk yang ada di antaranya masih bergantung kepada hasil tangkapan sungai bagi menyara hidup, selain menjadikan sungai laluan perhubungan utama,” katanya.

Advertisements

Be the first to comment