Pilihanraya Presiden Singapura Ditetapkan Pada 23 September

SINGAPURA 4 September – TEPAT jam 5.00 petang tadi, Jabatan Pilihanraya Presiden (ELD) Singapura menutup permohonan bagi Sijil Kelayakan dan Sijil Komuniti bagi menghadapi pilihanraya memilih presiden republik itu.

ELD mendedahkan butiran tersebut dalam satu siaran media petang tadi.

KESEMUANYA terdapat lima permohonan yang diterima ELD dan tiga darinya memohon bagi Sijil Masyarakat Melayu.

Menurut ELD lagi, satu permohonan memohon bagi Sijil Masyarakat Cina dan satu lagi tidak menganggap diri pemohon sebagai anggota masyarakat Melayu, Cina, India atau minoriti lain.

Seorang daripadanya memohon bagi Sijil Masyarakat Cina; dan satu daripadanya mengisytiharkan bahawa beliau tidak menganggap dirinya sebagai anggota masyarakat Cina, masyarakat Melayu, ataupun daripada kaum India atau kaum minoriti lain.

Pilihanraya Presiden  2017 merupakan pilihanraya pertama memilih Presiden Singapura dari kalangan masyarakat Melayu sejak 46 tahun lalu, selepas Yusof Ishak menjadi Presiden pertama republik tersebut.

Minggu lepas ELD mengeluarkan Writ Pilihanraya Presiden bagi tahun 2017.

Pilihanraya Presiden Singapura bakal  diadakan pada 23 September ini setelah tempoh perkhidmatan Presiden Tony Tan Keng Yam tamat pada 31 Ogos lalu.

Tarikh penamaan calon telah ditetapkan pada 13 September 2017 di auditorium Persatuan Rakyat, 9 King George’s Avenue, Singapura.

SEKIRANYA terdapat  lebih dari seorang calon, maka tarikh 23 September 2017 akan diisytiharkan sebagai hari mengundi.

Berdasarkan kepada perkembangan mutakhir, terdapat tiga calon berpotensi yang melahirkan minat untuk bertanding,  iaitu dua darinya merupakan ahli perniagaan dan seorang bekas Speaker Parlimen Halimah Yacob.

Kedua-dua ahli perniagaan tersebut adalah Mohamed Salleh Marican, Farid Khan Kaim Khan sementara Halimah Yacob pula merupakan bekas Speaker yang telah pun membentuk pasukan pilihanrayanya sendiri sejak dari awal lagi.

Ketua Eksekutif Second Chance Properties, Mohamed Salleh 67, mengemukakan permohonan bagi Sijil Kelayakan dan Sijil Komuniti di Jabatan Pilihanraya pada 23 Ogos, sementara  Farid Khan 62, Pengerusi Pembekal Perkhidmatan Marin Bourbon Offshore Asia Pacific, berbuat demikian pada 24 Ogos.

Setiap calon mesti mengemukakan kertas pencalonan disertakan dengan Sijil Kelayakan; Sijil Komuniti yang mengesahkan mereka tergolong dalam masyarakat Melayu; dan sijil Derma Politik, kata jabatan itu.

 

Advertisements

Be the first to comment