Kerajaan Pusat Komited Majukan Luar Bandar – Zahid Hamidi

JELI, 5 Sept (Bernama) — Kerajaan Persekutuan terus komited untuk memajukan kawasan luar bandar dengan mewujudkan pelbagai pembangunan bagi faedah rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan mahu melihat kemajuan yang seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar supaya tidak ada kawasan yang ketinggalan.

“Kewujudan kampus universiti di kawasan luar bandar seperti di Jeli ini, merupakan antara pemangkin kepada kemajuan bukan sahaja ekonomi tetapi turut meningkatkan tahap sosial di kawasan kampus itu,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Timbalan Perdana Menteri bersama mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Jeli di sini, hari ini.
Zahid Dan Tok Pa Di Jeli
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Mentor UMK, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Naib Canselor UMK Datuk Dr Mortaza Mohamed.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menganaktirikan mana-mana negeri termasuk kawasan luar bandar kerana kerajaan begitu prihatin dengan kepentingan rakyat.

Advertisements

Be the first to comment