MH370: Malaysia Hantar Pegawai Ke Madagascar

KUALA LUMPUR 5 Sept: Malaysia hari ini menghantar pegawai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) ke Madagascar untuk menyiasat dan menerima  suatu serpihan kecil pesawat yang  dipercayai milik MH370.

ASPIRASI PERDANA sebelum ini memetik satu laporan sebuah portal dari Australia yang mendedahkan penemuan serpihan tersebut oleh Blaine Gibson yang mendakwa menerima ancaman bunuh.

Pemergian pegawai CAAM tersebut disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Liong Tai. Beliau bagaimanapun berpendapat masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa serpihan kecil pesawat tersebut adalah milik penerbangan Malaysia MH370 atau sebaliknya.

MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 bersama 239 penumpang dari 14 buah negara, sewaktu dalam penerbangan dari KLIA ke Beijing.

Kehilangan MH370 dianggap sebagai salah satu misteri penerbangan terbesar di dunia, gerakan besar-besaran dilakukan oleh pelbagai negara, namun belum menampakkan hasilnya.

Penghantaran pegawai CAAM ke Madagascar tersebut merupakan prosedur standard operasi (SOP) untuk mengenal pasti serpihan kecil pesawat berkenaan, demikian dinyatakan Liow.

Menurut beliau lagi, mengikut SOP, sebaik serpihan itu disahkan sebagai serpihan milik pesawat, maka serpihan pesawat itu sama ada boleh dihantar ke sini atau Malaysia menghantar pegawai ke sana untuk proses mengenal pasti serpihan terbabit.

“Ya, kita telah dihubungi pihak berkuasa Madagascar memaklumkan mengenai serpihan. Malah, berdasarkan kes ini, kerana seseorang telah dibunuh, daripada serpihan pesawat itu dihantar ke sini, kita menghantar pegawai ke sana,” jelas Liow pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Minggu Maritim Sedunia Peringkat Kebangsaa 2017, di sini, sebentar tadi.

Liow juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai pembunuhan Zahid Housenially  Reza, konsul kehormat Malaysia di Madagascar yang ditembak mati di ibu negara Antananarivo pada 24 Ogos.

“Siasatan polis masih berterusan, kita tidak tahu sama ada ia dikaitkan dengan MH370 atau tidak,” katanya.

“Jangan membuat spekulasi. Saya tidak fikir kematiannya mempunyai kaitan dengan MH370. Biar polis siasat. Serpihan itu tidak semestinya dibawa oleh beliau, ia boleh dihantar ke sini menggunakan perkhidmatan kurier.

“Terlalu awal untuk kaitkannya dan saya fikir adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab mengaitkan kes pembunuhan ini dengan serpihan pesawat,” katanya. -ASPIRASI PERDANA-

Advertisements

Be the first to comment