Sungkai Hab Ilmuan Statistik Antarabangsa, Terima Kasih Kerajaan Persekutuan – Sultan Nazrin

SUNGKAI Perak 6 September – Jabatan Perangkaan (Statistik) membuat permohonan kepada kerajaan Persekutuan di bawah projek Public Fund Initiatives (PFI) pada 2009 dan tertubuhlah Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) pada 28 Disember 2011.

ILSM mulai beroperasi pada 3 Januari 2012 dan pada hari ini Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah ibn almarhum Sultan Azlan Shah berangkat mencemar duli berkenan merasmikannya.

Dalam ucapan perasmiannya, Sultan Nazrin bertitah bahawa pencapaian sebenar sosioekonomi sesebuah negara dapat dinilai dan dipantau secara holistik melalui statistik.

Baginda bertitah bahawa statistik merupakan rujukan untuk memandu kerajaan ketika dalam proses merangka pelbagai dasar dan rancangan pembangunan di negara ini.

Recent Trends In The Malaysian Economy June 2017
Graf menunjukkan trend ekonomi Malaysia berdaya saing – June 2017, World Bank

Baginda juga mengingatkan rakyat tempatan  bahawa statistik dapat membantu manusia lebih mengenali dan memahami keadaan sebenar persekitarannya.

Titah Baginda lagi, statistik mula memainkan peranan dalam pembangunan sosioekonomi di Tanah Melayu dan Borneo seawal tahun 1930-an dan setiap pengumpulan data rasmi perdagangan luar negeri dan pertanian dilakukan sejajar dengan aktiviti pertanian sebagai sumber utama ekonomi negara ketika itu.

“Pengetahuan dan kesedaran berkaitan ilmu statistik sangat relevan di dalam kehidupan masa kini. Justeru diingatkan, bahawa statistik terdiri daripada data-data yang dikumpul, digabung, dicantum, diolah, dianalisis dan kemudiannya ditafsiri oleh manusia,” ujar Baginda.

Menurut Baginda lagi, “Pentafsiran yang tidak tepat boleh mengundang kepada berlakunya perancangan yang silap, atau perumusan keputusan yang salah, mengakibatkan berlakunya perancangan yang tidak tepat serta tindakan yang tidak bijak; dan pada akhirnya gagal memenuhi matlamat yang disasarkan.”

Sultan Nazrin juga memetik kenyataan D.J. Spiegelhalter seorang pakar statistik dari Universiti Cambridge yang memberikan peringatan bahawa manusia yang berada di belakang statistik terdiri daripada pelbagai watak dan latar belakang; dan setiap seorang manusia memiliki potensi mentafsir statistik menurut sudut dan lensa masing-masing.

Selain dari itu, Baginda juga memberi penekanan terhadap tiga faktor yang perlu dihormati untuk membolehkan statistik berupaya berperanan sebagai instrumen yang dapat membantu dan demi memastikan perancangan dapat dirangka  secara tepat dan betul agar tidak akan mencetuskan masalah kepada pelaksana (dasar).

PERTAMA, statistik  hendaklah dikumpul secara menyeluruh dan komprehensif.

KEDUA, statistik dibentangkan secara konsisten setelah disemak ketepatan dan kesahihan data dengan teliti dan,

KETIGA, statistik perlu ditafsiri secara objektif dan jujur tanpa bersifat selektif dan tanpa sebarang prejudis.

“Pengenalan dan pemahaman terhadap keadaan sebenar, dapat pula membantu manusia merumuskan sesuatu kesimpulan dengan pemilihan yang terbaik, ketika merangka sesuatu program dan ketika merancang sesuatu kegiatan,” titah Baginda.

Selain memetik kenyataan Spiegelhalter, Sultan Nazrin juga berkenan merujuk definisi statistik sebagai ilmu tentang negara, kerana digunakan dalam urusan pentadbiran, khususnya untuk mengukur kekuatan ketenteraan dan kadar cukai bagi tabungan negara yang diketengahkan oleh ahli falsafah Jerman, Gottfried Achenwall.

Selaras dengan cabaran Malaysia dalam menghadapi ‘Gelombang Revolusi Perindustrian Keempat’;  yang menuntut agar segenap lapisan masyarakat memiliki maklumat yang relevan, tepat lagi terkini, Sultan Nazrin bertitah, “Revolusi pantas teknologi maklumat dan komunikasi memberi impak besar kepada teknologi digital, dan hampir lima puluh peratus warga dunia berusia lima belas tahun ke atas, menggunakan Internet.

“Ledakan maklumat yang terhasil pada masa ini, begitu mudah diakses dalam laman web melalui pelbagai peranti elektronik. Gelombang yang dinamakan Big Data, dikenal pasti sebagai sumber yang berpotensi membantu meningkatkan keupayaan membuat keputusan berasaskan fakta,’  titah Baginda lagi.

Baginda juga menyeru agar pengumpulan data secara moden dapat diselarikan dengan penyebaran yang segera dan meluas dengan titahnya, “Keadaan ini, bukan sahaja menuntut kepada perlunya proses pengumpulan data dilakukan secara moden dan lengkap, malah turut menuntut agar penyebarannya dilakukan secara segera lagi meluas, disampaikan dengan ringkas, padat dan interaktif, agar statistik yang sahih dapat membantu ke arah merumuskan keputusan yang tepat.”

Menurut Sultan Nazrin lagi, penubuhan ILSM merupakan satu pelaburan jangka panjang berimpak tinggi kepada sumber insan terlatih supaya lebih bersedia menguasai profesion baru ahli sains data dalam menghadapi revolusi teknologi digital yang berkembang begitu pesat.

ILSM dijangka menjadi hab ilmuan statistik antarabangsa yang mengumpulkan pakar-pakar statistik dan matematik seluruh dunia selain dianggotai tenaga pengurusan, tenaga latihan serta tenaga sokongan yang berdedikasi lagi komited untuk melakar kecemerlangan.

Pada akhir ucapannya, Sultan Nazrin bertitah, “Beta menghargai dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang memilih Sungkai sebagai tapak Institut ini. Sungkai kini mempunyai sebuah institut latihan profesional.

“Semoga institut ini akan terus berkembang hingga diiktiraf sebagai institut latihan bertaraf antarabangsa dan dianggotai oleh tenaga pengurusan, tenaga latihan dan tenaga sokongan yang berdedikasi lagi komited untuk memekarkan ia dengan kejayaan,” titah Baginda. -ASPIRASI PERDANA-

Advertisements

Be the first to comment