Malaysia Hadapi Bahaya Pemerintahan Diktator

YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak megecam para pemimpin pakatan pembangkang kerana memburuk-burukkan nama Malaysia dalam media-media antarabangsa dengan tuduhan liar dan palsu,  kononnya Malaysia menghadapi bahaya pemerintahan diktator.

Beliau menyatakan demikian dalam blog beliau najibrazak.com dan disiarkan menjelang ketibaannya untuk lawatan kerja beliau ke Amerika Syarikat, mulai 11 hingga 13 September.

Najib menegaskan bahawa kebolehan pembangkang mengkritik kerajaan yang terbuka luas dan rancak membuktikan semakin meningkatnya kebebasan bersuara yang dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Menurut Najib lagi, “Tetapi dengan secara palsu mencerca demokrasi Malaysia yang vibran dan menyebarkan fitnah dan kepalsuan mengenai kerajaan ini dalam akhbar luar negara semata-mata untuk faedah politik adalah satu hal yang lain. 

“Itu tidak menunjukkan kebanggaan tentang apa yang telah kita capai. Tidak juga ia menunjukkan kecintaan terhadap negara kita,” jelas Najib lagi.

Najib juga menegaskan meski pun kerajaan menaruh kepercayaan terhadap demokrasi Malaysia dan hak rakyat untuk menyuarakan pendapat, namun pakatan pembangkang  cuba memberi gambaran palsu dalam akhbar Amerika kononnya pengkritik kerajaan sering dipenjara.

YAB Perdana Menteri juga mempersoalkan kebenaran dakwaan-dakwaan palsu pakatan pembangkang dengan katanya, “Mengapa pula anda dapati pujian terhadap ahli-ahli politik pembangkang dalam akhbar kebangsaan kita, dan perbahasan rancak – termasuk sekian banyak kritikan terhadap kerajaan – dalam web portal Malaysia?”

Sambil menegaskan bahawa kerajaan mempertahankan demokrasi, kebebasan bersuara dan keluruhan undang-undang, Najib berkata, “Rekod kita adalah jelas, seperti mana meningkatnya kebebasan rakyat di bawah pentadbiran ini, dan mengambil perhatian bahawa pembangkang dialu-alukan malah telah menyertai perdebatan dengan kerajaan, sebagaimana mana rakyat Malaysia tahu berdasarkan laporan dalam media tradisional dan media baharu.”

Selain dari mengukuhkan demokrasi Malaysia, terlalu banyak hasil-hasil perubahan yang hebat semenjak merdeka termasuklah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta menghapuskan Akta Daurat telah digunapakai lebih dari 60 tahun.

“Dan ia merupakan langkah-langkah utama yang memerlukan keberanian politik yang hebat,” kata Najib lagi.

“Tetapi kami melangkah ke hadapan dengan langkah itu kerana dengan memansuhkan undang-undang lapuk dan menindas ini merupakan langkah yang tepat.” tambah beliau.

Bagi meningkatkan kebebasan media pula, kerajaan telah membatalkan sekatan terhadap lesen penerbitan akhbar, yang diamalkan sebelum ini.

Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti pula memberi kebebasan kepada mahasiswa turut serta dalam aktiviti politik.

Di samping itu, proses demokrasi yang dikekang selama ini oleh pemimpin terdahulu, demonstrasi terus dibenarkan dan bergerak aktif dalam beberapa tahun pemerintahan beliau.

Ianya disebabkan Akta Perhimpunan Aman yang julung kali digubal dalam bentuk undang-undang memberi hak kepada rakyat mengadakan bantahan secara aman di mana kerajaan mengiktiraf ia sebagai sebahagian daripada masyarakat demokratik, tegas Najib lagi.

Menepis dakwaan bahawa beliau seorang diktator, Najib menganggap ianya suatu perkara yang anih dan menempelak pakatan pembangkang yang kini diterajui oleh seorang bekas pemimpin yang mengakui mengakui bahawa beliau adalah seorang diktator ketika berkuasa selama 22 tahun.

“Dan memang benar semasa beliau menjadi perdana menteri, beratus-ratus orang dilokap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

“Akhbar, termasuk sebuah harian kebangsaan perdana ditutup. Badan kehakiman diserang.

“Kroni kapitalisme merebak, dengan urusan dibuat begitu ketara membebankan rakyat hari ini. Rakyat tidak ada hak untuk berdemonstrasi, dan pelajar tidak dibenarkan menyertai politik,” jelas Najib.

Mengenai kepercayaan kukuh kerajaan dalam menegakkan keluhuran undang-undang, Najib berkata ini adalah penting kepada kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan mana-mana masyarakat.

“Dan kecemerlangan peraturan pasaran kewangan yang telah kita laksanakan, misalnya, telah diiktiraf dalam pelbagai ranking dunia, jelas Menteri Kewangan itu.

Malaysia juga mempunyai rekod demokrasi paling mantap dan lama di Asia Tenggara, tegas Najib berhubung pilihan raya yang dipertandingkan dengan sengit dan kebebasan menyuarakan pendapat seseorang.

Rekod pilihanraya umum membuktikan parti-parti berlainan ideologi menawan negeri-negeri dan ahli politik tersohor kehilangan kerusi mereka, kerana tidak ada keputusan yang boleh dijamin dalam undian demokrasi bebas.

“Terpulang pada rakyat untuk memilih, dan itulah rekod yang harus dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia,” kata Najib. -ASPIRASI PERDANA-

Advertisements

1 Trackback / Pingback

  1. Malaysia Hadapi Bahaya Pemerintahan Diktator | Hot Kelate