Tunku Sallehuddin Dimahsyur Sultan Kedah Baharu

RAJA Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, hari ini dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat, semalam.

Pengumuman pemasyhuran Sultan Kedah yang baru itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit.

Sejurus pengumuman, Datuk Pengelola Bijaya Diraja selaku Ketua Istiadat, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah kemudian mengiringi Sultan bersemayam di singgahsana.

Istiadat penuh takzim diikuti dengan beliau melafazkan ungkapan ‘Daulat Tuanku’ tiga kali diikuti tiupan nafiri dan bacaan doa oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang.

Beliau kemudiannya memohon perkenan sultan untuk istiadat pemakaman jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim.

Tunku Sallehuddin yang berusia 75 tahun adalah adinda Almarhum Sultan Abdul Halim.

Keputusan melantik baginda sebagai Sultan Kedah yang baru dibuat Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja Negeri Kedah, semalam.

Tunku Sallehuddin diputerakan pada 30 April 1942 dan mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff serta dikurniakan dua putera, Datuk Tunku Sarafudin Badlishah dan Datuk Tunku Shazuddin Ariff.

Baginda adalah anakanda kesembilan daripada 14 putera dan puteri Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang memerintah Kedah dari 1943 hingga 1958.

Meminati bidang ketenteraan, Tunku Salehuddin pernah menjalani latihan kadet dan dihantar ke India menjalani kursus ketenteraan di Indian Military Academy di Dehra Dun dari 23 Julai 1962 hingga 30 Jun 1963.

Selepas kembali ke tanah air, Tunku Salehuddin ditauliahkan pangkat Leftenan pada 12 Februari 1964 dan ditempatkan di Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Tunku Sallehuddin juga adalah Canselor Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dan Yang Dipertua, Majlis Agama Negeri Kedah. -Sumber-

Up ↑

%d bloggers like this: