Advertisements

Filipina Gagal Sebagai Pengerusi ASEAN

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Tindakan Filipina tidak mahu memahami penderitaan yang dihadapi etnik Rohingya sudah dijangkakan kerana mereka dilihat sememang­nya tidak menjuarai hak asasi manusia di negara sendiri.

Pengarah Eksekutif Pusat Rohingya ASEAN (ARC), Dr. Helmi Ibrahim berkata, Filipina sebagai Pengerusi ASEAN sepatutnya perlu bertanggungjawab menyelesaikan kekejaman terhadap Rohingya di peringkat rantau ini sekali gus menghentikan perbuat­an penghapusan etnik tersebut.

Menurutnya, Malaysia sejak dahulu lagi berpendirian konsis­ten menentang kezaliman ke atas etnik Rohingya dengan mengadakan bantahan dan menghulurkan bantuan kemanusiaan.

‘‘Ini adalah masalah yang terjadi dalam kalangan ASEAN maka harus diselesaikan di peringkat serantau. Setidak-tidaknya ja­ngan mengeluarkan kenyataan sebegitu, sebaliknya beri peluang isu tersebut dibincangkan di pe­ringkat negara-negara anggota.

‘‘Kepemimpinan Filipina sebagai pengerusi telah gagal kerana tidak dapat memperjuangkan isu besar, pembunuhan etnik Ro­hingya secara besar-besaran dan sikap lepas tangan ini amat mendukacitakan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi ASEAN dalam satu kenyataan menyatakan, menteri-menteri luar kesatuan itu mengutuk serangan ke atas pasukan keselamatan Myanmar pada 25 Ogos lalu dan semua tindakan keganasan yang mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam, kemusnahan rumah dan pemindahan sebilangan besar penduduk.

Kenyataan Pengerusi ASEAN itu juga menyatakan bahawa menteri-menteri luar kesatuan berkenaan sedia menyokong kerajaan Myanmar dalam usaha mewujudkan keamanan, kestabil­an, kedaulatan undang-undang dan memupuk keharmonian serta perdamaian antara pelbagai komuniti serta pemba­ngunan yang berkekalan lagi adil di wilayah Rakhine.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Alan Peter Cayetano yang juga Setiausaha Luar Filipina.

Sementara itu, Helmi berkata, sekiranya pergolakan dalam Myan­mar tidak diselesaikan maka limpahan masalah seperti kebanjiran etnik Rohingya sebagai pelarian di negara-negara ASEAN juga akan berterusan.

‘‘Malaysia sebagai negara anggota mengharapkan agar Pengerusi ASEAN memperjuangkan isu tersebut, namun sebaliknya yang berlaku. Sekiranya perkara itu dibincangkan, maka tindakan lanjut seperti menggantung keahlian negara Myanmar juga dapat dilaksanakan,’’ katanya.

Dalam pada itu, Helmi berkata, sudah tiba masanya ARC memulakan satu gerakan hak asasi manusia dalam kalangan masyarakat awam di seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Myanmar bagi menghentikan perbuat­an kejam berkenaan.

‘‘Ini bukanlah isu agama tetapi isu hak asasi manusia maka kita akan adakan satu persidang­an pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada November atau Di­sember ini untuk memperjuangkan isu berkenaan kerana kekejam­an ini perlu diselesaikan sendiri oleh ASEAN,’’ katanya.

Advertisements

Be the first to comment

%d bloggers like this: