ISLAM Tolak Sekuralisme, Malaysian Malaysia Dan Cauvinis Kaum

Islam menolak sekularisme, Malaysian Malaysia dan cauvinis perkauman tanpa menafikan kewujudan kehidupan duniawi, demikian menurut Dato’ Tuan Guru Haji Seri Abdul Hadi Awang, di Bangi kelmarin.

Menurut Presiden PAS tersebut, Islam berupaya membawa perubahan holistik yang tidak mampu dilakukan oleh mana-mana agama dan ideologi ciptaan manusia.

Sifat dan ciri-ciri yang positif dalam skop agama dan ideologi terdapat di dalam Islam, sekaligus menolak aspek-aspek negatif dari pelbagai isme.

Kata Abdul Hadi, “Malahan Islam itu lebih sempurna daripada kedua-duanya, kerana banyak perkara dalam Islam tidak termasuk dalam lingkungan agama dan ideologi yang diketahui umum mengikut bahasa mereka.

“Maka Islam menolak teori sekularisme, Malaysian Malaysia dan cauvinis perkauman tanpa menafikan wujudnya kehidupan duniawi.

“Adanya kaum dan sifat kasih tehadap kaumnya adalah naluri kemanusiaan, namun sikap cauvinis boleh mencetuskan pertembungan di antara kaum, sehingga boleh merosakkan konsep Masyarakat Madani yang saksama dan menjadi naluri manusia,” tambah beliau lagi.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut berkata bahawa Islam mempunyai kaedah penyelesaian yang tersendiri berdasarkan kepada konsep tiada paksaan dalam beragama dan berbangsa.

“Islam mampu membawa perubahan holistik kerana datangnya daripada Allah Pencipta Alam yang Maha Mengetahui akan fitrah manusia dan tujuan mereka diciptakan di alam dunia ini,” katanya.

Abdul Hadi juga memetik firman ALLAH swt yang mafthumnya; “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik, serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah Al-Isra’: 70)

Kenyataan Abdul Hadi yang menegaskan penolakan Islam terhadap sekularisme, Malaysian Malaysia dan cauvinis perkauman merupakan suatu kenyataan yang tepat berdasarkan kesempurnaan Islam itu sendiri berbanding agama-agama dan isme-isme lain.

Ia juga secara tersirat menyeru rakyat Malaysia agar menolak golongan-golongan tertentu yang acapkali mempromosi dan bertindak berdasarkan ketiga-tiga terma tersebut.

Advertisements

Be the first to comment