MUFTI NAFI TERLIBAT HIMPUNAN KLEPTOKRASI

Kuala Lumpur 14 Oktober – Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri hari ini menafikan penglibatan beliau dalam himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi sebagaimana yang tersebar melalui media sosial.
 
“Kami menafikan sekeras-kerasnya penglibatan kami samada atas kapasiti peribadi atau jawatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam program ini”, tegas beliau.
 
“Semasa program ini dijalankan, kami berada dalam penerbangan daripada Labuan ke KLIA2, selepas menghadiri program di sana”, tambah Zulkifli lagi.
 
Zulkifli mengulas sebuah kiriman berbentuk poster yang dikirimkan kepadanya oleh seorang netizen yang inginkan kepastian mengenainya dan menganggap penyebaran poster tersebut suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
 
Zulkifli juga menghargai kebebasan bersuara di Malaysia dan menyatakan pendirian beliau yang kekal berkecuali terhadap mana-mana parti politik di Malaysia.
 
Selain menasihati orang ramai agar menyelidiki kesahihan sesuatu berita, Zulkifli juga menasihatkan agar wadah media sosial dimanfaatkan dengan baik dan sewajarnya.
 
Mengakhiri kenyataannya, Zulkifli berharap agar Malaysia akan terus aman damai di bawah lembayung pemerintahan D.Y.M.M. Yang Di Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Advertisements

Be the first to comment