Dr. Zamihan Mahu Khalid Samad Minta Maaf Atau Disaman

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jama’ah (ASWAJA), Dr. Zamihan Mat Zin Al-Ghari menuntut Khalid Samad memohon maaf kerana mendakwa beliau dilindungi oleh seorang  Godfather (pemimpin yang berpengaruh).

Portal-portal berita media arus perdana dan alternatif melaporkan Zamihan juga mahu agar  Khalid mendedahkan siapakah yang dimaksudkan sebagai Godfather itu, memohon maaf atau menghadapi tindakan undang-undang.

Menurut Zamihan, “Oleh itu, saya mahu Khalid Samad mengeluarkan permintaan maaf terbuka atas kenyataan liarnya  yang bertujuan merosakkan reputasi saya, jika gagal, saya akan mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadapnya tanpa prejudis.

“Jika benar saya dilindungi oleh ‘godfather’ maka saya mencabar pemimpin Amanah tersebut  untuk mendedahkan siapa ‘godfather’ seperti yang dituntut olehnya,” kata Zamihan.

Pengarah Komunikasi Strategik Parti Amanah Nasional (PAN) itu dilaporkan mendakwa bahawa Dr. Zamihan dilindungi oleh Godfather (pemimpin berpengaruh), tetapi tidak menyebut namanya.

Khalid juga mendakwa pemimpin berpengaruh tersebut  cuba untuk mendapatkan perkenan menghadap Sultan Johor bagi menjelaskan isu kritikan Sultan terhadap ceramah Dr. Zamihan.

Sebelum kenyataan Khalid tersebut, Sultan Johor telah memaafkan Dr. Zamihan atas ceramah beliau yang dianggap mengkritik baginda secara terbuka, berhubung isu dobi mesra Muslim.

Sultan Johor juga bertitah agar perkara tersebut tamat setakat itu sahaja. Malangnya kenyataan Khalid selepasnya dilihat mengeruhkan suasana dan mahu isu tersebut dipanaskan kembali, memaksa Dr. Zamihan mengulas mengenainya.

Menurut Dr. Zamihan lagi,“Kenyataan Khalid bukan sekadar percubaan untuk menggulingkan reputasi saya tetapi dilihat sebagai langkah oportunis untuknya dan pembangkang sebagai tindak balas terhadap isu-isu yang telah dicetuskan.” 

Khalid bagaimana pun menganggap beliau tidak menghina dan menjejaskan reputasi Dr. Zamihan, sebaliknya bersedia menghadapi sebarang tindakan undang-undang.

Khalid sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Rendah Syariah kerana mengajar agama tanpa tauliah di Selangor sementara Dr. Zamihan pula ditarik tauliah mengajar oleh Sultan Selangor, gara-gara kritikan terbuka terhadap Sultan Johor.

 

Up ↑

%d bloggers like this: