AHLI DAP PERTIKAI KETELUSAN PEMILIHAN SEMULA CEC

SEREMBAN 25 Okt. – Selepas beberapa orang bekas pemimpin dan ahli-ahli parti DAP mempersoalkan tindakan parti ultra perkauman itu melantik sebuah firma audit bagi memantau perjalanan pemilihan CEC, kini tampil pula bekas pemimpin yang mempertikaikan kejujuran dan ketelusan parti tersebut.
 
Pemilihan kali ketiga itu merupakan arahan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) setelah dua pemilihan sebelumnya didapati tidak mematuhi peraturan dan undang-undang tubuh parti tersebut.
 
S. Vijayan, bekas Setiausaha DAP Cawangan Taman Bukit Emas mempertikaikan kelewatan kepimpinan DAP mempamerkan senarai calon-calon dan perwakilan yang akan terlibat dalam pemilihan CEC DAP.
 
Selain didapati tidak telus, kepimpinan DAP juga didakwa bersikap acuh tidak acuh terhadap pelbagai isu dibangkitkan oleh ahli-ahli parti berhubung dengan pemilihan semula itu yang dijadulakan pada 12 November ini.
 
S. Vijayan berkata, sehingga kini, kepemimpinan tertinggi DAP masih gagal mempamerkan senarai nama calon-calon dan perwakilan yang akan bertanding dan mengundi pada pemilihan itu di semua medium akhbar pelbagai bahasa.
 
Menurut beliau lagi, para perwakilan juga belum menerima surat jemputan bagi menghadiri pemilihan berkenaan yang dibuat melalui suatu kongres khas.
 
“Ahli-ahli dan para perwakilan sudah muak dengan cara DAP melayan kami di peringkat akar umbi. Mengapa sampai saat ini masih hendak berselindung dan tidak telus dengan pemilihan semula ini,” soal Vijayan.
 
Vijayan juga mengingatkan para pemimpin DAP dengan katanya, “Pemimpin DAP harus ingat bahawa tanpa ahli akar umbi maka tidak akan ada pemimpin. Jangan abaikan ahli-ahli seperti kami.”
 
Pertikaian antara ROS dengan DAP bermula pada April 2013 apabila parti itu dimaklumkan bahawa barisan kepemimpinan yang dilantik pada Disember 2012 adalah tidak sah. Tindakan ROS tersebut berdasarkan laporan-laporan penyelewengan dan penipuan oleh pemimpin dan ahli-ahli DAP sendiri.
 
DAP akhirnya me­ngadakan pemilihan semula pada September 2013, tetapi tidak menggunakan senarai nama perwakilan asal dan ROS sekali lagi meminta DAP mengadakan pemilihan CEC pada Julai lalu.
 
Selain dari itu, menurut Vijayan lagi, pemimpin dan ahli-ahli DAP tetap bertegas supaya pemilihan semula itu diadakan melalui kongres kebangsaan dan bukannya kongres khas seperti dimahukan oleh sesetengah pemimpin tertentu.
 
Menyentuh sebab musabab perlunya pemilihan CEC pada kali ini diadakan melalui kongres kebangsaan dan bukannya kongres khas, Vijayan berkata, “Kongres khas akan membo­leh­kan beberapa agenda mesyuarat ditiadakan seperti pembentangan penyata kewangan dan ahli-ahli tidak dapat mengemukakan usul dan berbahas.
 
“Ini akan dapat mengelakkan isu dan masalah parti dibangkitkan hingga menjadi pengetahuan ramai,” tambah beliau.
Advertisements

Be the first to comment