Advertisements

Tokoh Bahasa Selar Sekolah Vernakular

Pada bulan April lepas, sewaktu persidangan parlimen, seorang Ahli Dewan Rakyat (MP) menjadi bahan di kalangan rakyat Malaysia apabila gagal berbahas dengan fasih dalam Bahasa Malaysia.

Beliau mengungkapkan perkataan terburu-buru dengan sebutan terbulu-bulu dan ditertawakan lantaran sebutannya itu. Dan sepanjang perbahasan, beliau gagal menggunakan bahasa kebangsaan dengan lancar dan fasih selain seringkali dicampuradukkan dengan nada bahasa ibundanya.

Ianya merupakan suatu contoh yang jelas bagaimana seorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat gagal menghayati bahasa kebangsaan negara sendiri.

Dua hari lepas, tokoh budaya dan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim mengemukakan saranan agar kaedah dan pengajaran sebutan bahasa yang betul perlu diterapkan di sekolah-sekolah vernakular.

Nada rakyat Malaysia yang gagal bertutur bahasa Malaysia dengan betul sangat memualkan sementelahan pula ianya dipengaruhi bahasa ibunda ma­sing-masing.

Tokoh bahasa, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, perkara itu biasanya berlaku bermula dari sesetengah sekolah vernakular yang mengabaikan kepentingan bahasa kebangsaan seterusnya ia merebak tanpa kawalan.

Nik Safiah dalam mengulas perkara ini berkata, “Perkara ini bukan sahaja tertumpu kepada cara sebutan, malah sikap tidak endah pihak sekolah vernakular yang lebih gemar menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pertuturan antara faktor yang menyumbang kepada permasalahan tersebut.

“Memang bahasa Malaysia tidak wajib di sekolah-sekolah jenis itu, namun sebagai rakyat Malaysia, para guru harus membentuk jati diri pelajar mereka untuk menguasai bahasa kebangsaan dengan baik,” tambah pemegang ijazah doktor falsafah pertama di dunia dalam bidang linguistik itu.

Menurut Nik Safiah lagi, kerajaan juga mungkin perlu melihat semula dasar-dasar yang berkaitan dengan taraf kewarganegaraan agar nilai bahasa kebangsaan tidak dipandang sebelah mata.

“Kita perlu bertegas dalam hal ini kerana jika permasalahan ini dibiarkan berlarutan, golongan tersebut akan memberikan persepsi negatif kepada imej Malaysia dan akan dianggap seperti tidak mempunyai identiti bahasa kebangsaan yang tersendiri,” katanya.

ASPIRASI PERDANA sebelum ini pernah melaporkan terdapatnya golongan sedemikian yang bukan sahaja tidak fasih berbahasa kebangsaan, malah membuat tuntutan yang tidak menepati dengan semangat kontrak sosial dan perlembagaan negara.

Advertisements

Be the first to comment

%d bloggers like this: