DAP Wajar Bantah Singapura Larang Haslin Baharim dan Ismail Menk Berceramah

Pendirian Kementerian Dalam Negeri (MHA) Republik Singapura mengharamkan kemasukan “Ustaz Bollywood” Haslin Baharim dan  Ismail Menk dianggap tidak selari dengan pendirian Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Ia berdasarkan tindakan parti ultra perkauman itu mengkritik tindakan pihak polis dan Jabatan Agama Islam (JAWI) yang menahan seorang penulis liberal Turki, Mustafa Akyol atas alasan beliau tidak memiliki tauliah ceramah, awal Oktober lalu.

Mustafa ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sewaktu dalam perjalanan ke Amerika Syarikat setelah memenuhi undangan ceramah agama dari Islamic Renaissance Front.

Selain dari tidak memiliki tauliah ceramah,  buku-buku penulis yang berfahaman liberal (liberalisme) terlebih dahulu telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia lantaran ianya mengandungi elemen-elemen dan ideologi yang bercanggah dengan Islam.

Pengharaman buku-buku tersebut diwartakan berdasarkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Mesin Cetak dan Percetakan 1948 pada 6 September 2017 oleh Menteri Dalam Negeri.

Antara buku-buku yang diwartakan haram oleh KDN adalah “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty” diterbitkan oleh W.W. Norton & Company Inc. Amerika Syarikat dan “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan (terjemahan)” yang diterbitkan Islamic Renaissance Front (IRF), Kuala Lumpur.

Penahanan Mustafa Akyol dan pengharaman buku-bukunya dikritik keras oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy dengan menyatakan terdapatnya agenda tersirat di sebalik penahanan dan pengharaman tersebut.

Dalam mempertahankan Mustafa Akyol, Ramasamy menyatakan, “It is real shame that Muslim intellectuals like Akyol should be deported on the grounds that he did not have the “right” religious credentials. But the real reason might be something else.”

Berbeza dengan larangan KDN dan JAWI ke atas Mustafa Akyol, larangan berceramah ke atas Haslin Baharim dan Ismail Menk tidak mendapat kritikan dan bantahan dari Timbalan Setiausaha Agung DAP (yang belum disahkan) itu.

Keputusan MHA melarang Haslin Baharim dan Ismail Menk tersebut dibuat hasil  rundingan dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Lembaga Pelancongan Singapura dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.

Kedua-duanya pernah ditolak Pas Kerja Pelbagai oleh republik tersebut. Antara lain, kenyataan MHA berhubung larangan terhadap Mufti Ismail tersebut sebagaimana yang terpapar di laman web rasmi adalah, “Sebagai contoh, beliau berceramah bahawa adalah menjadi dosa besar dan jenayah bagi seorang Muslim untuk mengucapkan kepada bukan Islam Selamat Hari Krismas dan Selamat Deepavali, yang secara ringkas orang Islam tidak dibenarkan mengucapkan perasaan gembira semasa perayaan agama orang bukan Islam.”
MHA Banned Ismail Menk & Haslin Baharim

LARANGAN memasuki Singapura ke atas Haslin pula berdasarkan kepada penilaian republik tersebut bahawa beliau telah melahirkan pandangan yang menggalakkan ketidakharmonian antara umat Islam dan bukan Islam yang dianggap oleh MHA sebagai ‘menyeleweng’.

Menurut MHA lagi, pandangan memecahbelahkan antara umat Islam dan bukan Islam  sebagaimana yang sering disampaikan oleh Haslin dianggap menyemai amalan tidak bertolenrasi dan eksklusif yang boleh merosakkan keharmonian dan menyebabkan masyarakat berpecah dan kedua-duanya dianggap tidak boleh diterima dalam konteks masyarakat berbagai bangsa dan agama Singapura.

Sebagai sebuah parti yang mendokong ideologi sosialis dan prinsip samarata, DAP wajar mengemukakan bantahan rasmi dan kritikan keras ke atas tindakan MHA Singapura tersebut memandangkan Haslin Baharim juga merupakan rakyat Malaysia dan berhak dipertahankan oleh parti tersebut.

Kritikan keras DAP terhadap KDN dan JAWI dalam membela Mustafa pula wajar dilontarkan juga terhadap Singapura memandangkan kedua-duanya (Ismail Menk dan Mustafa Akyol) merupakan warga asing kepada Malaysia dan Singapura.

Mungkinkah Haslin dan Ismail tidak memberi apa-apa faedah dan kepentingan kepada DAP maka parti ultra perkauman tersebut tidak mempertahankan mereka?

SEKIRANYA DAP enggan untuk membantah dan mengkritik kerajaan Singapura, parti ultra perkauman yang telah “membunuh” 11 orang pekerja projek pembinaan tersebut disarankan mengkritik dan mengemukakan bantahan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang tidak bercadang melarang kedua-dua penceramah tersebut berceramah di Malaysia.

Yang mana satu pilihan DAP?

Advertisements

Be the first to comment