Culas Mencarum, Majikan Berdepan Dakwaan – PERKESO

KUALA TERENGGANU: Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso) akan bertindak tegas terhadap majikan yang culas mencarum terhadap pekerja mereka hingga menyebabkan waris keluarga gagal mendapat faedah daripada Perkeso.

Timbalan Pengarah Perkeso Negeri Terengganu, Norihan Ibrahim berkata Perkeso akan mengeluarkan amaran arahan pematuhan terhadap majikan yang gagal berbuat demikian untuk kesalahan pertama.

“Jika mereka ingkar, majikan tersebut boleh didakwa atas kesalahan gagal mendaftar dan membuat caruman ke atas pekerja di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 atau sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

“Setelah disiasat, Perkeso mendapati caruman terakhir yang dibuat pada arwah Mohd Sari adalah pada November 2014 yang menyebabkan keluarga arwah tidak layak untuk menerima faedah pengurusan mayat.

“Arwah Mohd Sari yang bekerja sebagai pemotong rumput kontrak dengan sebuah syarikat swasta tidak dicarum oleh majikannya semasa beliau bekerja menyebabkan anak arwah tidak layak mendapatkan kadar faedah pengurusan mayat yang sepatutnya diterima mereka,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dua anak arwah Nurulhuda Asarah Mohd Sari, 28, dan Muhammad Khairul Ridzuan Mohd Sari, 25, masih layak menerima cek faedah pengurusan mayat bernilai RM2,000 hasil caruman terhadap arwah ibu mereka, Mizah Mamat yang merupakan seorang tukang cuci di sebuah syarikat swasta.

“Pihak Perkeso telah berjaya mengesan majikan arwah yang ingkar membayar caruman dan kami akan membuat susulan kes ini bagi melayakkan kedua-dua anak ini mendapat pampasan daripada caruman arwah ayah mereka,” kata Norihan.

Menurutnya lagi, tindakan pantas Skuad Prihatin Perkeso yang berjaya mencari waris pasangan tersebut bertindak menghubungi waris berkenaan dan meminta kedua-dua mereka hadir ke Pejabat Perkeso Negeri Terengganu petang tadi bagi menguruskan proses tuntutan faedah pengurusan mayat dan penyerahan cek tersebut turut diberikan pada hari yang sama.

Arwah Mohd Sari dan isterinya antara empat beranak yang maut dalam kemalangan ketika pulang daripada menghadiri kenduri perkahwinan selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah bas di hadapan Penjara Marang pada 4 Nov lepas.
-Bernama-

Advertisements

Be the first to comment