Tiada Kompromi Pihak Cetus Kekecohan Esok – KPN

SHAH ALAM 27 April – Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencetuskan kekecohan atau provokasi pada hari penamaan calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) esok. Demikian dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Mohamed Fuzi berkata demikian pada sidang media selepas program Aktiviti Keagamaan Buddha Sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 di Samadhi Vihara, Seksyen U/12 di sini, hari ini.

Beliau juga menasihatkan semua pihak di seluruh negara supaya mematuhi peraturan ditetapkan, mengutamakan disiplin dan tidak dipengaruhi oleh emosi yang boleh mengganggu keselamatan awam.

Menurut Mohamed Fuzi lagi; “Mereka yang terbabit dalam proses pilihan raya perlu mengutamakan disiplin dan tidak dipengaruhi oleh keghairahan atau emosi yang boleh mengganggu keselamatan awam. 

“Kita mahu semua parti bersama memegang tanggungjawab memastikan proses penamaan calon sehingga hari pengundian nanti berjalan lancar.

“Ini pilihan raya kali ke-14 dan rakyat perlu membuktikan kematangan untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Kita tidak akan bertolak ansur dan mengambil tindakan jika tercetus kekecohan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang.

 

Advertisements

Be the first to comment