Menteri Arah DCA Siasat Isu Sabotaj Pesawat Mahathir

Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR 28 April – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan bahawa kerajaan telah mengarahkan suatu siasatan segera terhadap tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa pesawat yang sepatutnya beliau gunakan untuk ke Langkawi telah disabotaj.

Menurut Liow, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah diarahkan bagi menyiasat perkara tersebut dan menganggap tuduhan Mahathir tersebut sesuatu yang serius.

“Perkara ini merupakan sesuatu yang serius mengenai keselamatan penerbangan dan kami tidak mahu sesiapa meragui piawaian dan prosedur kami”, kata Liow.

Di samping itu, Liow juga berharap tuduhan Mahathir tersebut bukannya gimik politik.

Menurut Liow, “Kami mahu menyiasat jika ianya benar atau semata-mata gimik politik,” katanya.

Liow berkata kapten dan pemilik pesawat swasta juga akan dipanggil bagi memberi kenyataan berhubung isu ini.

Setakat ini juruterbang berkenaan belum membuat apa-apa laporan terdapatnya unsur-unsur sabotaj ke atas pesawat yang bakal dinaiki Mahathir itu.

Mahathir juga masih belum membuat laporan polis mengenai dakwaan kemungkinan ada cubaan membunuhnya melalui aktiviti sabotaj terhadap tayar pesawat terbabit.

Alasan yang beliau berikan adalah tidak yakin bahawa ianya akan disiasat polis.

Up ↑

%d bloggers like this: