Setiap Pengundi Adalah Raja – Johari Ghani

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memulakan kempen beliau pada pilihanraya umum ke 14 (PRU 14) ini seawal jam 7.15 pagi.

Lokasi pertama beliau adalah Kampung Baru sebelum menuju ke pasar dan menemui penjaja dan peniaga kecil di Jalan Wirawati, Kampung Pandan kira-kira pukul 9 pagi.

Johari yang kaya dengan senyuman sangat dikenali di kalangan penduduk Kampung Baru dan Kampung Pandan. Beliau berjaya membuktikan status menteri bukanlah penghalang untuk beliau bergaul dengan golongan marhaen.

Johari, yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa tidak menganggap mudah mempertahankan kerusi pada kali ini memandangkan beliau hanya menang dengan majoriti 866 undi pada PRU 13 lalu.

Beliau yang terkenal dengan sifat merendah diri tidak pernah memandang rendah keupayaan pesaing-pesaingnya, Mohamad Noor Mohamad (Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan) dan calon PKR, Rina Harun.

Menurut Johari, tiada jaminan kemenangan akan berpihak kepada beliau meskipun telah bekerja keras menambat hati pengundi sejak lima tahun.

“Semasa Pilihan Raya Umum Ke-13, saya sangat yakin berdasarkan kerja saya di Titiwangsa selama tiga tahun. Tetapi, keputusan yang diperolehi mengejutkan saya dan saya nyaris tewas.

Kawan saya, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, juga tewas dan manakala kerusi-kerusi parlimen lain di Kuala Lumpur menyaksikan penurunan majoriti yang ketara, Parlimen Setiawangsa contohnya.

“Apa sahaja boleh berlaku di sini, tetapi saya harap pemilih tidak mengundi berdasarkan sentimen dan emosi mereka,” jelas Johari panjang lebar.

Antara strategi  yang digunakan Johari sepanjang lima tahun lalu adalah untuk mengurangkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kawasan perkumbuhan di Kampung Pandan kepada hampir sifar, meningkatkan bilangan usahawan wanita dan menyelesaikan isu-isu penduduk dan vendor di Kampung Baru, Kampung Pandan dan Kampung Keramat.

“Semua 61,000 orang pemilih di Parlimen Titiwangsa adalah ‘raja’, termasuklah  21 peratus pengundi muda dan sekitar 8,000 orang pemilih yang mengundi buat pertama kalinya.

Itulah sebab saya memberitahu jentera BN supaya tidak mengambil ringan ini. Tidak ada jaminan kemenangan”, jelas Johari.

Up ↑

%d bloggers like this: