Advertisements

Lima Hadiah Istimewa Buat Pekerja

KUALA LUMPUR 1 Mei – Golongan pekerja di seluruh negara terutama dalam sektor swasta menerima khabar gembira hari ini apabila Datuk Seri Najib Tun Razak me­ngumumkan lima inisiatif dan peruntukan tambahan untuk mereka sejajar dengan Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bermatlamat membela kebajikan golongan pekerja.

Inisiatif berkenaan adalah penambahan peruntukan baya­ran interim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sebanyak RM60 juta lagi kepada Pertubuhan Ke­selamatan Sosial (Perkeso), yang menjadikan keseluruhannya berjumlah RM182 juta.

Menurut Perdana Menteri, dengan tambahan peruntukan untuk SIP, kadar bantuan inte­rim kepada pekerja di bawah sistem itu akan ditingkatkan iaitu RM1,000 pada bulan pertama, RM800 (kedua) dan RM600 pada bulan ketiga.

“Peruntukan tambahan ini bagi meringankan beban pekerja yang hilang pekerjaan. Kadar tambahan ini diberikan bagi membantu pe­nerima bantuan interim untuk mengikuti program latihan bagi meningkatkan keupayaan bekerja mereka,” katanya berucap pada sambutan Hari Pekerja 2018 bertemakan Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara di Dewan Merdeka, Pusat Daga­ngan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setia­usaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot; Presiden Kongres Kesatuan Se­kerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor dan Presiden Kong­res Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam  (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

Perdana Menteri turut mengumumkan langkah kerajaan menyediakan peruntukan geran khas sebanyak RM3 juta kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai menghargai walak dan ke­setiaan warga pekerja kepada kerajaan dan negara selama ini.

“Terpulang kepada pihak ke­satuan itu untuk mengagihkannya demi kemakmuran sektor swasta. Seluruh warga pekerja di sektor awam dan swasta serta majikan dan 742 kesatuan sekerja di seluruh negara adalah ‘darah daging’ kepada ta­nah air ini,” tegas beliau.

Perdana Menteri seterusnya berkata, jika ditakdirkan BN memperoleh kemenangan dalam PRU-14, kerajaan akan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,000 dan RM920 sekarang kepada kadar baharu yang akan diumumkan pada tahun ini juga.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa MTUC telah memperjuangkan dasar gaji minimum sejak 1998, namun tidak diendahkan oleh pemimpin utama kerajaan ketika itu yang mem­biarkan nasib pekerja sehingga ada yang bergaji serendah RM400 sebulan.

Namun, katanya, keadaan berbeza apabila dalam masa hanya setahun selepas mengambil alih kepimpinan negara, beliau me­ngumumkan pelaksanaan Dasar Gaji Minimum Kebangsaan diikuti Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang seterus­nya menyaksikan gaji minimum ditetapkan RM900 bagi Semenanjung dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak pada 2012.

“Pada tahun lalu, kadar gaji minimum ditingkatkan lagi ma­sing-masing sebanyak 11 peratus dan 15 peratus menjadi RM1,000 di Semenanjung dan RM920 di Sabah dan Sarawak,” kata beliau.

Demi memupuk keluarga bahagia untuk warga pekerja pula, Perdana Menteri berkata, kerajaan BN akan memperkenalkan inisiatif khas cuti paterniti mandatori sekurang-kurangnya tiga hari khusus untuk suami yang bekerja di sektor swasta dan pindaan peruntukan undang-undang bagi melaksanakannya dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal 2019.

Perdana Menteri turut me­ngumumkan hadiah istimewa melalui Pembangunan Sumber Manusia Bhd. (PSMB) dengan peruntukan sebanyak RM210 juta dengan RM10 juta daripadanya untuk mentauliahkan seba­nyak 4,000 pekerja melalui Program Pengiktirafan Pengalaman Pembe­lajaran Terdahulu (RPEL).

Katanya, kerajaan BN bertekad akan terus melindungi golongan pekerja dalam pelbagai segmen masyarakat termasuk pemandu e-hailing, nelayan, petani, peniaga pasar dan penggiat seni.

“Warga pekerja bukan sekadar penabur khidmat dan bakti kepada tanah air tercinta ini, bahkan lebih jauh dari itu, seluruh warga kerja walau di mana berada, BN mengangkat dan mengiktiraf warga pekerja sebagai tulang belakang, daging dan darah yang mengalir deras dalam pembuluh nadi serta nafas kerajaan di ta­nah air keramat lagi merdeka ini.

“Kalau kerajaan BN itu umpama bunga, maka warga pekerjalah ibarat tangkainya. Maka, janganlah sesekali warga pekerja sekalian terpesona dan tergoda serta menghirup pada ‘bunga’ yang lain, teruslah yakin, menikmati madu daripada kelopak BN yang tulen menjadi penawarnya,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Advertisements

Up ↑

%d bloggers like this: