CALON KEMPEN BERKAIN PELEKAT

BERKAIN pelekat, berbaju T dan berkopiah. Itu penampilan santai calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak ketika berkempen pada waktu malam.

Katanya, beliau selesa berpakaian begitu terutama ketika melawat Pusat Daerah Mengundi, malah pengundinya juga sudah biasa melihat penampilannya itu.

“Ini pakaian yang saya pakai ketika bersama masyarakat di kawasan DUN ini ketika berkempen pada waktu malam sejak dua penggal yang lalu, malah penduduk kampung pun sudah biasa melihat saya begini.

 “Tambahan pula sekarang ini cuaca agak panas, bila pakai kain pelekat sejuk lah sikit, lagi pun kain pelekat melambangkan budaya Melayu”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ramah mesra bersama penduduk Kampung Hulu Retang, di sini, malam tadi.

Wan Amizan berkata, golongan muda pada zaman kini tidak lagi gemar memakai kain pelekat meskipun ia adalah pakaian tradisi Melayu sejak dahulu lagi.

“Di samping saya berkempen dapat jugalah saya menggalakkan mereka untuk memakai kain pelekat kerana ia sebenarnya lebih selesa,” katanya.

Wan Amizan masih diberi kepercayaan untuk mengekalkan kerusi DUN Tahan untuk PRU14 ini dan berdepan tiga penjuru antara calon PAS, Mohd Zakhwan Ahmad Badardin dan Nordin Ahmad yang bertanding atas tiket PKR.

Wan Amizan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut menyandang kerusi DUN Tahan sejak dua penggal lepas dengan memperoleh majoriti 1,357 undi pada PRU-13.

Up ↑

%d bloggers like this: