Polis tahan seorang lagi suspek kes pukul warga Britain

GEORGE TOWN, 20 Mei (Bernama) — Polis menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kes pergaduham melibatkan seorang mangsa warga Britain di Jalan Penang di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata suspek lelaki berusia 30 tahun itu telah ditahan sepasukan polis dan pihak polis masih memburu beberapa lagi suspek yang disyaki turut terlibat dalam kes itu.

“Suspek kini ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengenai motif sebenar kejadian pergaduhan berlaku sehingga mangsa mengalami kecederaan parah. Setakat ini, kita telah mengenal pasti dua lagi rakan suspek dan usaha memburu mereka giat dijalankan,” katanya.

Anuar berkata mangsa kini telah sedar dan berada dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian pukul 4.10 pagi semalam, lelaki warga Britain itu cedera dan tidak sedarkan diri akibat dipukul sekumpulan lelaki dalam pergaduhan di hadapan Restoran Jaya, Jalan Penang di sini. -Bernama-

Advertisements

Be the first to comment