Advertisements

Azmin Junjung Kasih Kepada Sultan Selangor

SHAH ALAM 21 Mei – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin menjunjung kasih terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenankan peranan baharu beliau di peringkat Persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, Mohamed Azmin menyatakan perkenan baginda itu dizahirkan susulan daripada penjelasan serta pengesahan daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai skop kerja serta bidang kuasa kementerian baharu yang akan digalasnya nanti.

“Dengan setulus hati, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih di atas titah nasihat dan pedoman yang diberikan oleh baginda sepanjang saya mengemudi pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

“Titah nasihat dan pedoman baginda telah memperkukuh keyakinan serta mengupayakan saya untuk mengangkat Selangor ke tahap kejayaan yang lebih tinggi,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut menyatakan penghargaan terhadap Perdana Menteri yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk menyertai barisan Kabinet sekaligus melaksanakan reformasi terhadap ekonomi negara.

Mohamed Azmin yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu dijadualkan mengangkat sumpah jawatan Menteri bersama 12 lagi pemimpin di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara, pukul 5.30 petang ini -UTUSAN ONLINE-

 

Advertisements

Up ↑

%d bloggers like this: